"Sesungguhnya (segala keterangan Yang disebutkan) ini, menjadi TAZKIRAH (peringatan); maka sesiapa Yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan Yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat)" al-Insan:29

Sunday, June 29, 2008

Selepas ramadhan


Kita baru saja melalui bulan Ramadhan, bulan penuh berkah dan andainya amal ibadat kita diterima, seluruh dosa kita dengan Allah s.w.t diampunkan. Apa yang kita harapkan adalah kita akan berkekalan membersihkan diri dari dosa-dosa yang mendatangi selepas daripada itu. Jika kita rajin bertaubat kepada Allah s.w.t., nescaya kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Orang yang bertaubat dari sesuatu dosa seperti orang yang tidak berdosa”

Bagi manusia biasa seperti kita, melakukan dosa adalah sesuatu yang amat sukar dielakkan. Manusia yang berdosa, tempat kembalinya adalah neraka. Adakah kita mahu berkekalan dalam dosa dan menempah azab di akhirat kelak? Allah s.w.t yang Maha Pengasih Penyayang memberikan jalan bagaimana kita dapat menghapus dosa itu iaitulah dengan bertaubat.

Demikianlah penyelesaiannya kepada masalah dosa ini. Memang ada banyak firman Allah dan sabda Rasulullah yang merujuk kepada anjuran bertaubat.

An Nuur 31. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

Saya akan membawakan pada setiap pagi sabtu berikutnya berkenaan persoalan taubat yang diolah dari kitab asal Ihya Ulumuddin karangan imam al-Ghazali. Pada kali ini, kita akan melihat tentang hakikat taubat itu sendiri. Pertamanya yang paling penting adalah ilmu, iaitu ilmu tentang besar dan bahayanya dosa itu. Dia sedar dosa itu seperti dinding yang memisahkannya dengan Yang Maha Pencipta. Ada rasa sedih dalam hatinya sebab dia telah membuat sesuatu yang dibenci oleh Tuhannya. Apa rasanya kalau orang yang sangat kita kasihi benci pada kita. Tentulah kita rasa sangat sedih. Itu baru manusia, bagaimana pula jika yang benci kepada kita itu adalah Allah s.w.t, Pencipta kita, tempat pergantungan dan pengharapan kita. Kesedihan inilah yang menghasilkan rasa penyesalan diatas perbuatan dosa kita. Kalau diperhatikan betul disini, hanya orang yang ada rasa hubungan dan unsur kecintaan pada tuhan yang akan merasai penyesalan membuat dosa. Seterusnya apabila ada rasa sesal, datanglah pula kemahuan untuk bertindak mengatasi keadaan itu iaitu meninggalkan dosa yang dilakukannya itu dan juga untuk mengelakkan rasa sesal seperti itu di masa depan, dia juga akan bercita-cita untuk meninggalkan dosa itu yang membuatkannya jauh dari yang dikasihinya iaitu Allah s.w.t. Hanya keimanan dan keyakinan seseorang itu kepada Allah sahajalah yang dapat mendatangkan rasa kesal sebab dia berasa bahawa dia telah terdinding dari yang dicintainya iaitu Allah s.w.t.


Dalam pengertian lain, taubat itu bererti meninggalkan maksiat serta merta dan berazam akan terus meninggalkannya pada masa hadapan dan mengganti apa yang dah terlanjur dari dosa itu. Wajib kita menyesal dengan dosa yang telah kita buat. Kewajipan taubat ini jelas disebutkan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith2 dan bila kita sebut sesuatu itu wajib, ingatlah bahawa Allah s.w.t akan membalas dengan kebahagiaan bagi sesiapa yang mengikutnya dan balasan kecelakaan bagi yang menolaknya. Yang bahagia akan beroleh syurga dan yang celaka akan menduduki neraka


At-Tahrim 8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…

Dalam surah al-Baqarah ayat 222:


222. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.

Pekerjaan taubat ini tidaklah boleh ditangguh-tangguhkan. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal Allah s.w.t menunggu taubat kita pada bila-bila masa saja. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal kita tak tahu bila kita akan dijemput pulang. Luqmanul Hakim berkata kepada puteranya:! Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat, kerana mati itu selalunya datang dengan tiba-tiba! Maka berangsiapa yang meninggalkan penyegeraaan kepada taubat dengan berlengah-lengah, maka dia akan berada di antara dua bahaya yang besar.

Pertama: Akan bertumpuk-tumpuk kegelapan maksiat itu ke atas hatinya, sehingga menjadi karat-karat dan berbekas, dan ketika itu hati sukar dapat menerima penghapusan lagi.

Kedua: Akan ditimpa penyakit yang kronik atau maut, sehingga dia tiada mendapat peluang bekerja uantuk menghapuskannya.

Orang yang bertaubat itu samalah seperti orang yang membasuh pakaiannya yang terkena kotor. Kita ibaratkan dosa itu sebagai kekotoran. Sepatutnya bila ada peluang membersihkannya, hendaklah dia segera membersihkannya supaya pakaian itu kelihatan bersih dan suci. Kenapa nak ditangguh-tangguhkan lagi sampai esok sampai lusa? Menuggu hari esok itu akan lebih mengotorkan pakaian tadi, kerja membersihkannya akan menjadi lebih sukar. Kalau hari ni sibuk sangat tak sempat nak cuci, mungkin hari esok lebih sibuk lagi, atau hari lusa juga sibuk lagi. Sementara itu pakaian itu hari demi hari semakin melekat kotorannya dan semakin sukar dibersihkan. Sehari demi sehari, hari ini tunggu hari esok, esok tunggu lusa, akhirnya maut sudah menunggu di depan pintu, maka akan pulanglah dia menemui Allah s.w.t dalam keadaan yang kotor, penuh dosa dan kesalahan. Apakah kita mahu keadaan ini berlaku pada kita? Sama-samalah kita berfikir, moga-moga diberikan Allah petunjuk untuk membetulkan diri kita sebelum terlambat.

Sekian,…

Puasa 3



Bismillah..

Assalamu’alaikum…

Dalam tazkirah yang lalu, kita telah mendengar tentang apa yang dinamakan tingkatan-tingkatan puasa. Kalau saudara pendengar ingat lagi, puasa ada tiga tingkatan, pertama puasa umum, kedua puasa khusus dan ketiga puasa paling khusus. Hari ini kita kita akan bincangkan pula tentang bagaimana hendak mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu iaitu puasa khusus.

Pendengar yang dimuliakan,

Perkara yang amat penting yang mesti kita jaga untuk mencapai kesempurnaan ini adalah menahan pandangan kita daripada segala hal yang makruh dan dari apa saja yang dapat mengganggu dan melalaikan kita daripada mengingat Allah. Bukankah kita sedang berusaha untuk memastikan diri kita ini sentiasa berada dalam keadaan berzikir dan mengingati Allah. Tak perlulah mulut kita kumat kamit tetapi dalam hati kita sentiasa ada ingatan kepada Allah s.w.t. Setiap kali jantung berdegup, setiap kali itu juga kita mengingati Allah, mensyukuri nikmat yang diberikan. Ada kajian yang menunjukkan sebenarnya jantung itu yang disangkakan bunyinya dub dub dub itu sebenarnya berbunyi rab rab rab iaitu yang bermaksud tuhan dalam bahasa arab.

Sepatutnya kita sebagai seorang Islam, tidak sepatutnya lalai dan lupa dalam mengingati Allah sedangkan yang berdegup di dalam dada kita rupanya mengingatkan kita kepada yang Maha Pencipta. Oleh yang demikian untuk menjaga diri kita agar tidak lalai dan lupa, jagalah mata, jaga pandangan agar jangan sampai pandangan itu menyebabkan terganggunya kita dari mengingati Allah. Rasulullah s.a.w bersabda yang mafhumnya:

”Barangsiapa yang meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendaangkan kemanisan dalam hatinya”

Saudara pendengar yang dihormati,

Perkara kedua yang untuk kita mencapai tingkatan kedua puasa adalah menjaga lidah daripada sebarang perkataan yang keji, mengumpat, menipu, cakap yang sia-sia dan yang sejenis dengannya. “Dua perkara merosakkan puasa” mafhum sabda Rasulullah s.a.w “iaitu mengumpat dan berbohong”

Ada satu kisah pada zaman nabi yang ingin saya ceritakan di sini iaitu kisah dua orang wanita yang berpuasa. Para sahabat memberitahu Rasulullah, ada dua wanita berpuasa dan mereka dah hampir mati kehausan. Rasulullah menyuruh membawa mereka kepadanya. Apabila dibawa kedua mereka, Rasulullah berkata kepada salah seorang wanita tersebut, ”muntahlah”.

Wanita itu memuntahkan nanah, darah dan daging sampai setengah mangkuk. Kemudian baginda menyuruh pula wanita yang satu lagi, ”Muntahlah”. Wanita itu memuntahkan nanah, darah dan daging sampai penuh mangkuk tersebut. Kemudian Rasulullah bersabda:

”Wanita ini puasa keduanya dari apa yang dihalalkan Allah kepada mereka. Tetapi mereka berbuka dengan barang yang diharamkan Allah terhadap mereka. Yang satu mengunjungi yang lain, lantas mereka memakan daging manusia bersama-sama”

(HR Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)

Demikian bagaimana Rasulullah memberikan contoh dan pengajaran untuk kita jadikan ingatan selama-lamanya. Kita tahan diri dari makanan dan minuman yang halal kerana berpuasa tetapi ambil sesuatu yang diharamkan Allah iaitu mengumpat – seolah-olah kita berbuka dengan memakan daging manusia.

Saudara pendengar yang dimuliakan.

Perkara yang ketiga adalah menjaga pendengaran kita dari mendengar kata-kata yang tidak baik. Apa yang haram diucapkan haram didengar. Sabda rasululullah s.a.w ”Yang mengumpat dan yang mendengar, bersekongkol dalam dosa”.

Perkara keempat adalah menjaga seluruh anggota tubuh yang lain dari melakukan dosa. Tangan, kaki umpamanya hendaklah dijaga daripada digunakan ke arah perbuatan maksiat. Perut juga kita jaga daripada diisi dengan makanan yang shubhat dan haram.

Yang kelima yang disebutkan oleh imam Ghazali adalah tidak berlebih-lebihan semasa berbuka. Makan berlebihan ini bukan saja tidak elok untuk kesihatan tetapi juga menyebabkan kita tidak dapat merasai manfaat dan hikmah puasa itu sendiri.

Perkara yang keenam dan terakhir adalah memastikan hati kita sentiasa berada dalam keadaan raja’ dan khauf iaitu perasaan harap dan takut. Merasa takut kepada kebesaran Allah dan bimbang jika ibadat kita tidak sempurna dan tidak diterima oleh Allah dan dalam masa yang sama penuh pengharapan kepada rahmat dan pengampunan dari Allah s.w.t.

Sekian untuk kali ini semoga kita mendapat manfaat.

Wabillahitaufiq ....

Puasa 2



Bismillah...

Assalamu’alaikum...

Saudara pendengar yang dikasihi sekalian,

Dalam tazkirah kali ini, saya akan membicarakan tentang tingkatan-tingkatan puasa. Apakah yang dikatakan tingkatan puasa itu? Dalam dunia ini, apa saja ujian atau peperiksaan yang kita hadapi, bila dinilai, kita akan tahu keputusannya atau gred, tingkatan atau tahapnya. UPSR, PMR, SPM dan sebagainya, semuanya ada tahap yang menentukan berjaya, gagal atau sederhana pencapaian seseorang pelajar itu. Begitu juga dengan puasa. Kita tahu puasa ini satu ujian dan dalam menjalani ujian ini, manusia yang berpuasa ini terbahagi kepada beberapa bahagian menurut Imam al-Ghazali:

Yang pertama adalah puasa puasa umum, kedua puasa khusus dan yang ketiga adalah puasa paling khusus.

Pendengar yang dihormati,

Puasa umum ataupun puasa orang awam adalah puasa di tahap yang paling rendah iaitu menahan makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Orang-orang yang termasuk dalam kategori ini menunaikan puasanya tidak lebih dari menahan lapar dan dahaga. Dia tidak peduli untuk menjaga tingkahlakunya, apa perkataan yang keluar dari mulutnya, apa yang dikerjakannya. Biasa saja semuanya. Mengumpat orang macam biasa, menyakiti hati orang dengan perkataan dan perbuatannya. Buat perkara-perkara haram tanpa memikirkan langsung yang dia berada dalam bulan Ramadhan atau bulan puasa dimana di mesti memastikan puasanya puasa berkualiti.

Orang-orang dalam golongan ini tidak mendapat banyak manfaat dari puasa mereka melainkan letih menahan lapar menahan dahaga. Mereka mengabaikan perkara-perkara sunat dan perkara-perkara makruh kurang ditinggalkan. Rasulullah ada menyebutkan tentang orang-orang yang berpuasa seperti ini:

”Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak beroleh apa-apa dari puasanya selain lapar”

Saudara pendengar sekalian,

Peringkat yang kedua adalah peringkat puasa khusus. Pada peringkat ini, seseorang yang berpuasa itu bukan hanya menjaga dan menahan dirinya dari yang tiga tadi iaitu makan, minum dan meninggalkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi dalam masa yang sama dia juga berusaha menjaga memelihara seluruh anggota tubuhnya daripada sebarang perbuatan maksiat atau yang boleh mendatangkan dosa. Pada tingkatan ini, seseorang itu cuba sebolehnya menjaga akhlaknya dan cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat bagi menambah kualiti puasanya.

Dia sentiasa berhati-hati sebelum berbuat sesuatu supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan puasanya. Dia berfikir dahulu sebelum bercakap supaya perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya adalah sesuatu yang boleh mendatangkan pahala dan bukannya dosa. Tingkatan puasa ini adalah tahap puasa orang-orang soleh

Pendengar yang dihormati,

Tingkatan seterusnya adalah tingkatan puasa paling khusus. Puasa golongan ini bukan setakat menjada diri dari perkara yang membatalkan puasa malah lebih jauh daripada itu. Mereka sangat mementingkan amalan-amalan sunat. Keseluruhan anggota badan mereka berpuasa. Hati-hati mereka sentiasa berzikir menyebut dan mengingati nama Allah. Hati mereka berpuasa dari segala kehendak-kehendak duniawi yang tidak berkaitan akhirat. Bukan asyik berfikir saja berbuka nanti hendak makan apa? Raya nanti nak pakai baju warna apa dan sebagainya. Mereka lebih mementingkan keredhaan Allah s.w.t berbanding segala keperluan duniawi ini. Puasa ini adalah puasa nabi-nabi, siddiqin dan muqarrabin.

Saudara pendengar,

Demikian telah saya sebutkan beberapa tingkatan puasa untuk sama-sama kita renungkan. Mungkin sukar untuk kita mengikuti puasa tingkatan ketiga tetapi kita boleh berusaha untuk mencapai tingkatan kedua sekurang-kurangnya. Janganlah biarkan puasa kita puasa yang rendah kualiti dan tidak bermakna untuk dipersembahkan kepada Allah tuhan sekalian alam.. Bukankan kita telah berikrar dalam setiap solat fardhu kita menyatakan bahawa solat kita, seluruh ibadat kita, hidup dan mati kita semuanya lillahi Taala.

Apa sahaja yang kita dengar tidak akan membawa sebarang manfaat jika kita sendiri tidak mahu mengubah diri kepada lebih baik. Berilah motivasi kepada diri kita sendiri. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang mafhumnya:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ketaatan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)

Sekian, semoga kita semua mendapat manfaat.

Wabillahi taufiq walhidayah,

Puasa 1

Bismillah..

Assalamu’alaikum...

Saudara pendengar yang dimuliakan,

Hari ini masuk hari ke-4 kita berpuasa. Alhamdulillah, ramai di antara kita dapat melaksanakannya dengan baik. Masjid-masjid dan surau kita meriah di waktu malam dengan aktiviti-aktiviti ibadah, bertarawikh dan lainnya. Kita mesti selalu ingat bahawa Ramadhan ini adalah madrasah bagi mendidik nafsu dan jiwa agar menjadi lebih baik. Janganlah kita jadikan bulan ini bulan menjamu nafsu selera sepuas-puasnya waktu berbuka.

Saudara pendengar yang dimuliakan,

Semua umat Islam mengetahui kewajipan berpuasa dan kita semua tahu perintah berpuasa adalah perintah yang besar. Kenapa kita katakan besar? Kerana ia adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya;

Maksudnya: ”Terbinanya Islam itu atas lima perkara – mengucap dua kalimah shahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan”.

Saudara pendengar yang dihormati,

Dalam tazkirah kali ini, saya ingin berkongsi dengan saudara pendengar sekalian 5 perkara seperti yang disarankan oleh nabi kita s.a.w untuk kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan ini. Kita tahu dalam bulan ini kita sangat digalakkan membuat amal kebaikan kerana pahala yang dijanjikan adalah berlipat kali ganda.

  1. Perbanyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk. Maksudnya kita hendaklah memperbanyakkan zikir, mengingati Allah sepanjang masa, setiap detik dan waktu, jika boleh pada setiap degup jantung itu bersama dengan satu kalimah Allah. Kalau selama ini kita lebih banyak bercakap tentang makhluk, tentang orang itu begitu, orang ini begini, masalah orang itu, masalah orang ini, kita mulakanlah pada ramadhan in untuk memperbanyakkan menyebut nama Allah berbanding menyebut nama manusia. Sedetik kita mensyukuri nikmat Allah yang dikurnia kepada kita juga dikira sebagai mengingati Allah.

Firman Allah:....

”Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”

  1. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Sepanjang tahun ini atau sebelas bulan yang lalu kita dah banyak sangat bercakap tentang urusan dunia. Untuk satu bulan ini saja kita biasakan diri banyakkan menyebut urusan akhirat pula. Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: Carilah apa yang disediakan oleh Allah untukmu di akhirat tetapi jangan kamu lupa nasib kamu di dunia ini.

Kita disuruh mencari kedua-duanya sekali, jadi janganlah asyik memikir dan menyebut urusan dunia sahaja. Alangkah baiknya dalam sebulan ini kita cuba menyebut-nyebut tentang akhirat pula. Semoga nanti selepas Ramadhan, kita akan sentiasa ingat bahawa dunia ini bukanlah segala-galanya untuk kita rebutkan. Semoga kita selalu ingat bahawa akhiratlah tempat akhir tempat abadi yang kita semua sedang menuju padanya. Apalah dunia ini jika nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya nanti.

  1. Memperbanyak menyebut dan mengingat hal kematian daripada hal kehidupan. Setiap hari daripada celik mata kita di pagi hari kita dah membayangkan apa nak dibuat pada hari itu. Apa yang akan kita buat di tempat kerja, apa tugasan yang belum siap lagi. Ada janji dengan orang sana sini, urusan anak isteri atau suami. Itulah perkara-perkara yang selalu membuat kita lupa atau kurang memikirkan tentang hal kematian. Rasulullah pernah menyebutkan bahawa orang yang paling cerdik adalah orang yang selalu mengingati mati. Jadi dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita banyakkan mengingati mati.

  1. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Ada orang yang suka menyebut-nyebut kebaikan dirinya dihadapan orang lain. Ada saja modalnya yang bermotifkan bangga diri walaupun tak secara langsung. Bangga dengan kejayaan dirinya, bangga dengan pencapaian dirnya atau keluarganya dan sebagainya. Ambil masa untuk berfikir dulu sebelum bercakap. Jika berkaitan kebaikan dirinya atau kebaikan keluarganya yang nak diceritakan, lebih baiklah dia diam sahaja sebab perkara itu boleh menjejaskan puasanya.

  1. Janganlah cuba menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Menceritakan keburukan orang lain dah tentunya haram tetapi apa yang ingin saya sampaikan ini adalah perbuatan cuba menampakkan keaiban orang lain. Dengan lain perkataan, kita tidak memburukkan orang itu secara langsung tetapi secara yang tersirat.

Semoga lima pesanan ini dapat kita manfaatkan dalam kehidupan dan semoga amalan kita diterima Allah.

Wabillahi taufiq walhidayah.....

Perkara yang penting diutamakan 2


Bismillah…

Assalamu’alaikum..

Sidang pendengar yang dimuliakan.

Kita akan menyambung lagi huraian berkaitan perkara yang penting mesti diutamakan. Dalam Islam, sesuatu perkara itu boleh menjadi utama pada satu masa dan boleh juga menjadi tidak utama pada masa yang lain. Masyarakat kita jarang dapat membezakan kedua masa ini dengan sewajarnya.

Mari kita cuba menyorot beberapa contoh yang ada disekeliling kita. Ada ramai orang Islam yang tergolong dalam golongan kaya pergi menunaikan haji dan umrah berkali-kali dan hampir setiap tahun. Tiada masalah mereka mengeluarkan wang ringgit untuk tujuan tersebut malah mereka membawa sekali beberapa orang miskin untuk pergi bersama mereka. Padahal Allah s.w.t tidak membebankan mereka (orang miskin) itu untuk menunaikan haji ataupun umrah – sebab mereka tiada kemampuan. Tapi bila kita minta kepada orang kaya ini untuk menyalurkan sedikit peruntukan untuk tabung dakwah, memerangi penjenayah Israel di Palestin, membangun sekolah atau sumbangan kepada tabung pelarian umpamanya, mereka hanya memandang sepi dan tidak peduli. Begitulah umumnya kefahaman segolongan masyarakat kita.

Saudara pendengar sekalian,

Ibadah haji, umrah kali kedua dan seterusnya itu adalah dalam kategori sunat dan bukan wajib lagi. Tetapi tugas memerangi orang kafir yang menceroboh dan mencabul hak-hak dan kehormatan orang-orang Islam adalah tugas yang telah difardhukan dan ditetapkan oleh Shari’at Islam.

Tahukan saudara bahawa kebanyakan orang yang datang ke tanah suci pada musim haji adalah orang-orang yang sudah pernah melaksanakannya pada tahun-tahun sebelumnya. Jemaah yang datang pertama kali bilangannya lebih kurang 15% sahajar dari jumlah keseluruhan jemaah haji yang datang. Jadi apabila jumlah keseluruhan jemaah haji dua juta orang, mereka yang datang pertama kali hanyalah sebanyak 300,000 orang sahaja!

Saudara pendengar sekalian,

Alangkah untungnya dan alangkah baiknya jika mereka yang pergi menunaikan ibadah haji sunat atau umrah sunat ini bertolak ansur dan mengalih perhatian dan menyalurkan peruntukan kewangan yang besar itu untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada kaum Muslimin dan Muslimat yang sedang dilanda kemelut kesengsaraan, kehancuran kerohanian dan kebendaan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam seluruh dunia.

Saudara pendengar sekalian,

Bagi gologan berkemampuan yang ingin pergi menunaikan haji dan umrah lain, mereka ingin pergi lagi keran kerinduan, kegembiraan dan kebahagiaan ketika di tanah suci. Jika mereka memahami fiqh keutamaan yang sebenar, tentulah mereka akan merasa sangat bahagia dan gembira serta puas hati apabila mampu memberikan peruntukan haji tersebut kepada Islam yang lain seperti memberi makan orang miskin, memelihara anak yatim, menyediakan tempat tinggal untuk pelarian yang terusir dari tanahair mereka, beri pendidikan, peluang pekerjaan dan lain-lain lagi. Alangkah ramai yang akan mendapat manfaat berbanding kepuasannya seorang ketika pergi menunaikan haji/umrah sunat tersebut.

Saudara pendengar sekalian,

Ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang meninggalkan pengajiannya kerana ingin bergiat cergas dalam dakwah dan tabligh, padahal bidang yang mereka pelajari adalah bidang yang sangat penting dan merupakan fardhu kifayah yang mana akan membawa dosa kepada umat Islam jika tiada seorang pun yang menguasai ilmu tersebut. Bukankah pahala ibadah dan jihad itu akan diterima oleh mereka semasa mempelajari ilmu tersebut?

Saudara,

Antara contoh lain yang suka saya sebutkan juga adalah kebanyakan orang Islam lebih mengutamakan sesuatu rukun Islam berbanding rukun yang lain. Mereka lebih mementingkan puasa daripada solat. Bulan Ramadhan hampir tiba, seluruh umat Islam tertunggu-tunggu termasuk yang tidak solat atau yang solat sekali sekala. Jarang jumpa orang yang tidak puasa tetapi sangat ramai yang sangat malas menunaikan solat lima waktu.

Saudara yang dimuliakan,

Selain itu ada juga yang sangat memberi tumpuan kepada ibadah sunat lebih daripada yang fardhu dan wajib. Bab tasbih, zikir, tahlil dan seumpamanya amat dititik beratkan tapi dalam dalam hal berbakti kepada kedua ibubapa, buat baik kepada jiran tetangga, menjaga silaturrahim, kasih-sayang sesama muslim, memerangi kezaliman, memelihara anak yatim dan banyak lagi perkara wajib yang lain tidak pula dikisahkannya.

Demikianlah, terdapat banyak kepincangan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada kesilapan dalam menentukan keutamaan. Perkara yang termasuk dalam kategori cabang dan ranting diutamakan, didebatkan dan diulas panjang lebar tapi perkara utama yang wajib, fardhu tidak pula dipedulikan. Ramai orang yang sibuk memerangi perkara makruh atau shubhah tapi sangat kurang orang yang memerangi perkara yang jelas haram dan terlarang. Ramai kaum muslimin yang sibuk dengan perkara khilafiyah seperti masalah nyanyian, fotografi, purdah untuk muslimat – seperti dah tiada perkara lain untuk dibincangkan sedangkan masalah-masalah besara yang menentukan nasib umat Islam dimasa hadapan tidak pula mendapat perhatian.

Sekian dahulu untuk kali ini, wabillahi taufiq walhidayah.

Perkara yang penting diutamakan 1



TAZKIRAH BULAN SEPTEMBER 2007

2 Sept. 07/19 Sya’aban 1428

Disediakan oleh:
Aini bt. Ahmad
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Untuk Pahang FM

Bismillah…Assalamu’alaikum..

Saudara yang dimuliakan,

Hari ini saya ingin membawa saudara memikirkan satu perkara yang kalau kita jaga betul-betul, akan menguntungkan kita dunia dan akhirat insya Allah. Mula-mula cuba bayangkan kita berada dalam keadaan begini: Jam menunjukkan pukul 3 petang, ada mesyuarat yang perlu kita hadiri, kita belum solat zohor lagi, perut dah berkeroncong belum makan tengahari, tiba-tiba ada panggilan telefon dari sahabat lama kita. Dalam keadaan seperti itu, apakah pilihan yang saudara buat? Tahukah saudara, pilihan kita dalam menentukan apa yang utama sebenarnya adalah sangat penting dalam menjadikan kita orang yang beruntung ataupun tidak.

Kita boleh buat keputusan apa saja. Semua orang akan membuat pilihan dan pilihan itu biasanya berkait rapat dengan sifat dan peribadi dirinya. Apa yang dia pentingkan dalam hidupnya. Bagi orang yang tidak jelas dengan tujuan dan matlamat hidupnya, dia akan membuat pilihan sesedap rasa sahaja. Dalam kesempatan ini, saya akan cuba membawakan apakah yang dikatakan keutamaan-keutamaan yang sepatunya diberi perhatian oleh kita sebagai orang Islam.

Allah s.w.t telah memerintahkan supaya kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perkara yang wajib mesti didahulukan, perkara yang kecil, tidak boleh dibesar-besarkan, yang penting tak boleh dipandang remeh dan sebagainya. Semua mesti diletakkan pada tempatnya. Dalam surah ar-Rahman 8 dinyatakan:

ž8. Supaya kamu tidak melampaui batas Dalam menjalankan keadilan;

Saudara pendengar yang dimuliakan,

Diriwayatkan bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w selalu bertanya kepada baginda apakah yang lebih utama antara itu dan ini dan sebagainya. Terdapat banyak hadith Rasululullah s.a.w yang menyatakan kelebihan amalan sesuatu perkara berbanding yang lainnya. Contohnya sabda baginda yang bermaksud:

”Keimanan itu ada tujuh puluh dan beberapa bahagian. Darjat yang paling tinggi adlah kalimah syahadah dan darjat yang paling rendah adalah menghapuskan perkara yang menyakitkan di jalanan”

Contoh yang lain, nabi s.a.w menyebutkan:

”Solat berjamaah lebih afdhal dari solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat”

Ayat-ayat al-Quran juga banyak yang menyebutkan tentang keutamaan-keutamaan sesuatu perkara. Sebagai contoh, dalam surah a-Zumar ayat 9:

9. … "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.

Saudara pendengar sekalian,

Pada hari ini, jika kita teliti kehidupan seharian kita dan masyarakat kita – tidak kiralah dalam soal kebendaan, kerohanian, pemikiran, sosial, politik dan ekonomi, asas peniaian dalam menentukan keutamaan amatlah mendukacitakan dan kebanyakannya bagaikan tiada panduan untuk menentukan apa yang patut benar-benar diberi keutamaan. Contohnya perkara-perkara yang berkenaan dengan masalah kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam kegiatan belia muda-mudi kita, perhatian dan penumpuan kepada riadah badan lebih diutamakan berbanding riadah akal fikiran – sedangkan akan fikiranlah yang akan menjana pembangunan modal insan yang dicita-citakan.

Saudara pendengar sekalian,

Dalam perbualan harian, di rumah, di tempat kerja- perbualan tentang orang-orang terkenal dan menjadi pujaan masyarakat bukanlah para ilmuan, cerdik pandai, alim ulama, cendekiawan, budayawan, sasterawan atau ahli fikir, tetapi orang yang menjadi pujaan atau idola mereka adalah para artis, seniman dan bintang-bintang filem dan bola sepak. Kenapa jadi begitu? Kerana itulah yang dihidangkan kepada masyarakat dalam dada-dada akhbar, majalah dan media-media elektronik.

Saudara pendengar yang dihormati,

Hanya dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang betul dan matlamat hidup yang betul, panduan yang betul, seseorang itu akan dapat menilai dan menentukan keutamaan dalam hidupnya keluarganya dan masyarakatnya. Seorang surirumah yang silap menentukan keutamaan dalam kerja hariannya akan menghadapi masalah tidak sempat membuat beberapa perkara penting contohnya. Itu baru surirumah, bagaimana pula jika saudara memegang jawatan-jawatan yang memerlukan saudara membuat keputusan yang besar. Yang menentukan peruntukan kewangan umpamanya. Kesilapan menentukan keutamaan akan membawa akibat yang berpanjangan dan kerugian yang bukan sedikit.

Kita akan sambung lagi huraian berkaitan perkara ini pada hari yang sama minggu hadapan.

Sekian, wassalamu’alaikum warahmatullah.

Maulidur Rasul

Bismillah..

Assalamu’alaikum…

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 56:


Al-Ahzab 33:56. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.

Sidang pendengar yang dimuliakan,

Tarikh hari ini ialah 12 Rabiul Awal 1428H. Pada hari ini, 1428 tahun yang lalu, junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w telah dilahirkan di dunia ini. Maha suci Allah, Nabi kita dilahirkan di Mekah, beberapa bulan selepas ayahnya Abdullah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Ibu baginda Aminah meninggal ketika beliau masih kecil. Saya percaya semua kita mengaku kita adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. tetapi kalau ditanya sejauh mana kita mengenali baginda, mungkin ramai juga yang terdiam dan memikir-mikir apa yang dia tahu tentang Nabi junjungan kita ini.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, marilah, dalam tazkirah yang sekejap ini, kita sama-sama cuba mengenang dan mengingati seorang manusia agung, yang penuh kebijaksanaan, yang memiliki keperibadian unggul, yang sangat pemaaf, yang sangat penyantun, yang sentiasa bersedia membantu manusia, yang hidupnya yang amat sederhana namun kemuliaan hatinya meruntun hati manusia kepadanya. Tidak dapatlah kita sebutkan semua kelebihannya di sini. Walaupun begitu, saya akan cuba menyebutkan beberapa petikan ayat al-Quran berkenaan nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. antaranya:

Al-Anbiya’ 21:107. Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Pendengar sekalian, Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyampaikan risalah Islam. Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah telah menjadi penyuluh, panduan hidup kepada seluruh umat manusia. Sekiranya manusia mengikuti semua panduan ini dan berpegang teguh kepada syariat, dia akan beroleh ‘al-falah’ atau kejayaan di dunia dan di akhirat. Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w adalah rahmat bagi sekalian alam. Agama Islam bukan untuk kawasan-kawasan tertentu, bukan untuk golongan atau bangsa-bangsa tertentu, bukan untuk warna kulit tertentu tapi untuk seluruh alam. Rahmat dan keadilannya meliputi seluruh kehidupan.

Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah berfirman:


Saba 34:28. Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Pendengar sekalian,

bukankah telah sampai kepada kita seruan ini? Bukankah utusan Allah yang mulia ini telah menyampaikan kepada kita berita-berita gembira buat orang beriman dan amaran2 kepada orang yang ingkar? Adakah kita telah menerima dan melaksanakannya? Ataupun kita tidak peduli sebagaimana yang disebutkan dalam akhir ayat tadi bahawa – kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu. Disana ada dua jalan, jalan kebaikan dan jalan keburukan. Yang mana satu yang telah kita pilih?

Rasulullah s.a.w. juga menjadi contoh ikutan terbaik dan tiada tolok bandingnya. Tidak perlulah kita umat Islam mencari-cari idola atau role model yang lain dalam hidup ini, apalah ertinya idola yang lain itu jika hendak dibandingkan dengan keperibadian agung yang mana mencontohinya dijanjikan pahala.

Al-Qalam 68:4. Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.

Pengiktirafan daripada Allah, tuhan sekalian alam, pencipta kita terhadap keperibadian dan akhlak baginda s.a.w tidakkah cukup untuk kita meletakkan baginda di tempat teratas sebagai ikutan kita?

Oleh yang demikian, pendengar sekalian, sama-samalah kita memurnikan kembali kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. Jadikanlah baginda contoh ikutan dalam kehidupan kita sehari-hari. Pelajarilah sirah iaitu perjalanan hidup baginda, supaya kita lebih mengenalinya dan lebih mencintai baginda hari demi hari. Baginda s.a.w sangat mengasihi umatnya sehingga disebut-sebut sebelum wafatnya. Tidak malukah kita untuk mengakui diri ini sebagai umat Muhammad, sedang hidup kita ini sentiasa meminggirkan sunnahnya, asing dengan akhlak yang ditunjukkannya, lupa pada pesan-pesanannya. Semoga tazkirah ini mendatangkan manfaat kepada kita bersama.

Wabillahi taufiq wal hidayah…..

Jaga makan

Bismillah..

Assalamu’alaikum…

Sidang pendengar yang dimuliakan, ada tak sesiapa yang tak pernah makan makanan segera? Jarang kita jumpa orang yang mengaku tidak pernah makan makanan segera. Dalam tazkirah kali ini saya akan menyentuh tentang bab jaga makan. Makan ni antara perkara penting dalam hidup kita. Dari sudut psikologinya, makan ini adalah antara keperluan pertama dalam hidup keperluan-keperluan hidup manusia. Kalau tidak makan, manusia tak boleh hidup.

Dalam memperkatakan bab makan ini, agama kita telah menggariskan panduan-panduannya dengan lengkap. Secara umumnya, Allah s.w.t telah menyebutkan di dalam al-Quran:

2:168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.

Allah Pencipta kita maha tahu keperluan dan keinginan kita. Sememangnya kita telah diciptakan dengan fitrah begitu. Manusia perlukan makanan untuk hidup, dan Allah s.w.t telah menciptakan pula makanan-makanan yang menjadi punca kelangsungan hidup kita. Ada bermacam-macam makanan yang dimakan manusia, tetapi Allah menyebutkan dalam firmannya “makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik..” maksudnya ada antara makanan itu tidak halal dan tidak baik. Islam melarang memakan benda-benda haram, yang kotor, bangkai, darah, daging babi, binatang tak disembelih, kecuali terpaksa.

Sebagai seorang Islam, menjaga makanan adalah antara perkara yang mesti kita utamakan. Makan menjadi ibadah jika kena gayanya. Alangkah untungnya dengan makan kita boleh mendapat pahala. Makan menjadi ibadah jika kita makan kerana Allah, untuk kita sihat, dapat beribadat dan bekerja mencari rezki yang halal. Makanan pula makanan yang halal, dari sumber yang halal. Makan pula dengan kadar sederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir-bazir. Untuk kesihatan juga, kita tidak perlu makan sehingga kenyang tersandar.

Sidang pendengar sekalian,

Dalam kita membincangkan makanan yang baik, tentu kita semua tahu makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging kita. Makanan yang baik dan berkhasiat akan menjadikan badan kita sihat dan dapat mengelakkan penyakit. Menjaga kesihatan badan adalah tuntutan dalam Islam. Umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang boleh memudharatkan dirinya termasuklah memakan sesuatu yang boleh memudharatkan perutnya dan kesihatannya. Kesimpulannya, jika sesuatu makanan itu mengandungi bahan yang kita tidak pasti tahap keselamatannya, kita hendaklah mengelakkan mengambilnya. Apatah lagi sesuatu yang memang kita tahu boleh memudharatkan kesihatan, contohnya rokok.

2:172. Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Cuba kita renung-renungkan, apakah semua yang masuk ke mulut kita ini terdiri dari benda-benda “toyyibaat” seperti yang disebutkan?

Allah telah menyebutkan dalam ayat yang lain bahawa yang dihalalkan bagi kita yang baik-baik dan diharamkan segala yang buruk. Maksudnya kalau sesuatu perkara itu diharamkan, tentulah ada keburukannya, samada kita tahu ataupun tidak.

Sidang pendengar sekalian,

Katalah kita memang telah memilih makanan yang baik, yang berkhasiat, dari sumber pendapatan yang halal, ingatlah ada satu lagi peringatan Allah s.w.t yang mesti juga kita ingat:

7:31…. dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.

Dalam ayat lain juga ada disebutkan bahawa membazir itu adalah amalah syaitan.

Sidang pendengar sekalian,

Semoga jelaslah kepada kita, Islam amat menitikberatkan bab penjagaan makanan. Islam mengajar umatnya memerhati apa yang hendak dimasukkan kemulutnya. Dari mulut turun ke perut. Makanan yang baik akan membawa kebaikan dan kesihatan, makanan yang tidak baik akan merosakkan tubuh badan dan membawa kemudharatan, kesakitan dan menjejaskan kehidupan.

Semoga kita semua bijak memilih makanan. Jauhilah makanan yang tidak bermanfaat kerana kita bukan hidup untuk makan tetapi kita makan untuk meneruskan hidup supaya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sekian, semoga mendatangkan manfaat,

Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu alaikum…

Harta

Sidang pendengar yang dimuliakan,

Dalam tazkirah kali ini, saya ingin mengajak pendengar sekalian berfikir tentang harta. Selagi kita ini bernama manusia, selagi itulah harga itu penting pada kita. Manusia secara umumnya semua berlumba-lumba mencari harta. Dan harta itu semakin dicari semakin rasa tak cukup dan akhirnya manusia terus menerus mengejar harta sehingga maut memanggil mereka. Mari kita cuba renung satu firman Allah yang berbunyi:

20. Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.

Pendengar yang dimuliakan,

Ayat ini telah menerangkan dengan sejelas-jelasnya kedudukan harta disisi manusia. Dijelaskan bahawa harta benda yang direbut-rebutkan di dunia ini hanyalah sementara dan harta benda ini hanyalah untuk kesenangan yang sekejap. Harta yang banyak tidak dapat membantu untuk hidup menongkat langit. Tiba ajalnya akan pergi juga. Maut pun tidak dapat ditolak dengan harta yang banyak. Harta yang banyak juga tidak dapat dibawa bersama ketika mati. Harta yang digunakan untuk jalan kebajikan, pahalanya dapat dibawa sehingga mati, tapi harta yang dikumpul-kumpul semasa hidup hanya dapa diagihkan kepada para warisnya selepas kematiannya.

Pendengar yang dimuliakan,

Kadang-kadang kita melihat orang sanggup bermusuhan kerana harta, ada juga orang sanggup berbunuhan kerana harta. Kenapa ini berlaku? Harta yang direbutkan itu bukan miliknya. Dia tidak pernah mencipta benda atau harta itu, dia juga tidak ada kuasa mengekalkan harta itu pada diri dia selama-lamanya. Dia pun akan musnah juga bila tiba masanya. Dia tidak dapat menghalang dirinya dari dimusnahkan. Dia sendiri adalah milik Allah. Harta bendanya yang direbutkan itu juga milik Allah dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa. Jika kita faham dan dapat menghayati setakat ini sahaja pun sudah cukup untuk membuat kita berfikir dua kali sebelum bergaduh-gaduhan kerana harta.

Mencari harta memanglah digalakkan dalam Islam. Tidak ada halangan langsung untuk kita mencari harta sebanyak mungkin, dengan jalan yang halal semestinya. Allah telah berfirman:

Al-Qasas 77. "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; “

Dalam mendapatkan harta, apa yang mesti selalu kita ingat adalah harta ini adalah amanah Allah kepada kita, dan sifatnya sementara. Dan apabila tiba waktunya, Allah s.w.t akan bertanya kembali kepada manusia tentang amanah tersebut. Lagi banyak harta yang kita ada, lagi lama perkiraan hisabnya di akhirat nanti. Setiap manusia akan ditanya tentang niat dan tujuan mereka dalam menggunakan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Akhirnya, ingatlah bahawa semua harta yang ada pada kita, dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya, semuanya milik Allah s.w.t. Semua harta benda tersebut adalah sebagai amanah untuk kita menjaga dan menggunakannya sebaik-baiknya. Dengannya kita boleh mendapat ganjaran yang banyak dan dengan harta juga boleh menyebabkan kita terjerumus dalam neraka – nauzubillah..

Sekian, wassalamu’alaikum

Allah mengetahui rahsia hati

Assalamu’alaikum..

Sidang pendengar yang dimuliakan.

Kita semua tahu bahawa Allah s.w.t mengetahui semua perkara. Apa yang ada di langit, di bumi, malah apa yang ada dalam hati manusia. Tetapi adakah pengetahuan tentang perkara itu benar-benar mendatangkan manfaat pada kita atau kita hanya tahu tetapi bersikap seolah-olah tidak tahu dan tidak pedulikan bahawa Allah s.w.t itu benar-benar mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Mari kita sama-sama renungkan satu firman Allah:

At-Taghabun:4. Ia mengetahui Segala Yang ada di langit dan di bumi; dan ia mengetahui Segala Yang kamu rahsiakan serta Yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa mengetahui Segala (isi hati) Yang terkandung di Dalam dada;

Jika dihayati betul ayat ini, nescaya kita manusia ini tidak berani memikirkan sesuatu yang jahat atau bukan-bukan. Apakan tidaknya, dimanakah kita hendak pergi atau dimanakah kita dapat sorokkan diri dari pengetahuan Allah? Kita hamba Allah, hidup atas rezki yang diberikanNya dan sentiasa memerlukan pertolonganNya. Oleh yang demikian itu, bagi setiap orang yang beriman, bukan sahaja dia mesti melakukan setiap sesuatu mengikut syari’at (sebab Allah s.w.t mengetahui setiap perbuatan manusia) tetapi juga mesti menjaga apa yang ada dalam hatinya – sebab Allah s.w.t juga tahu apa yang terdetik dihati. Allah s.w.t maha mengetahui samada seseorang itu ikhlas ataupun tidak melalukan sesuatu pekerjaan / ibadah.

Sidang pendengar sekalian,

Seseorang yang mengaku beriman, seharusnya dia amat menjaga apa yang ada dalam hatinya sama seperti dia menjaga tingkahlaku atau perbuatannya zahirnya. Janganlah sekali-kali kita fikir bahawa dendam kesumat yang kita pendam dalam hati itu tidak diketahui sesiapa. Allah menegaskan dalam firmanNya:


Al-Mulk 13. Dan tuturkanlah perkataan kamu Dengan perlahan atau Dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan Segala (isi hati) Yang terkandung di Dalam dada.

14. Tidakkah Allah Yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha mendalam PengetahuanNya!

Allah s.w.t Taala telah menegaskan dalam al-Quran bahawa setiap perbuatan manusia ini nanti akan dihisab semuanya pada hari Kiamat. Jika di dunia ini, manusia boleh menyediakan berbagai-bagai alasan, berbagai-bagai helah untuk melepaskan diri dari sebarang tuduhan. Di dunia ini ramai manusia terlepas dari hukuman kerana mereka pandai menutup bukti atau berlakon menjadi baik. Mereka boleh menyembunyikan perbuatan mereka dan merahsiakan apa di dalam hati mereka. Manusia biasa tidak akan dapat mengesan apa yang tersembunyi dalam hatinya. Teknologi terkini dengan alat pengesan orang berbohong pun tidak banyak membantu dan tidak dapat menterjemah apa yang ada dalam hati. Allah s.w.t menegaskan bahawa semuanya akan dibongkar pada hari Kiamat nanti sebagaimana firmanNya:


Al-Mujadalah 7. Tidakkah Engkau memikirkan, Bahawa Sesungguhnya Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi? tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah Yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah Yang keenamnya, dan tiada Yang kurang dari bilangan itu dan tiada Yang lebih ramai, melainkan ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. kemudian ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa Yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Pendengar yang dimuliakan

Jika demikianlah halusnya pemerhatian Allah s.w.t ke atas kita, apakah kita masih lagi tidak merasakan pentingnya menjaga hati kita, mengikhlaskan niat semua pekerjaan kita adalah semata-mata sebagai ibadah kepadaNya. Amalan yang tidak ikhlas tidak akan mendapat pahala ibadah. Hatilah tempat letaknya ikhlas dan Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.

Wallahu a’lam.

Putus asa


TAZKIRAH BULAN MAC 2007

Disediakan oleh Aini bt. Ahmad
Universiti Malaysia Pahang
Untuk Pahang FM

Tazkirah 1: Putus asa


Bismillah…Assalamu’alaikum..

Pendengar yang dimuliakan,

Pernahkah sesekali dalam hidup ini kita didatangi perasaan putus asa? Ataupun pernahkah kita melihat orang putus asa? Ataupun pernah mendengar cerita orang putus asa. Putus asa bukanlah satu perasaan luar biasa malah satu perasaan yang normal dialami oleh sesetengah orang. Perasaan ini membuatkan seseorang itu tidak gembira, tidak tenang dan menanggung rasa kecewa yang berat. Perasaan putus asa ini boleh kita bahagikan kepada dua iaitu:

Pertama: Putus asa bila berhadapan dengan sesuatu kesukaran atau halangan. Dalam keadaan ini, seseorang itu bila menghadapi susah, dia merasa dirinya tidak mampu menangungnya, sudah tidak tertahan lagi. Sebagai seorang yang beriman, dia tidak seharusnya ada perasaan begitu. Orang mukmin mestilah selalu ingat bahawa Allah s.w.t Maha Tahu apa yang diberikannya pada kita. Allah Maha Tahu kemampuan kita yang sebenarnya. Kesusahan atau kesempitan yang kita alami itu mesti kita terima dengan penuh redha. Kita tahu bahawa Allah s.w.t akan menguji hambanya dengan berbagai keadaan seperti firmanNya:


Al-Ankabut 2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Pendengar yang dihormati,

Sekiranya kita bersabar dengan ujian tersebut, Allah s.w.t akan mengurniakan ganjaran yang besar. Selain itu, orang-orang yang sabar juga akan mendapat darjat yang tinggi dalam kalangan orang-orang beriman. Oleh yang demikian itu, janganlah kita cepat berputus asa. Dan kalau kita bimbang kita tidak mampu menerima atau menanggung ujian-ujian dari Allah s.w.t., mana tahu ujian itu terlalu berat dan kita tidak yakin akan dapat menanganinya dengan baik, biasakanlah diri membaca doa ini. Doa ini biasa dibaca selepas sembahyang iaitu satu ayat dari surah al-Baqarah iaitu:

Al-Baqarah 286. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

Sidang pendengar yang dimuliakan,

Dalam keadaan yang Kedua:, iaitu yang lebih bahaya lagi apabila seseorang itu berputus asa dengan keampunan daripada Allah setelah melakukan kesalahan ataupun dosa. Contohnya dia fikir bahawa dosanya dah terlalu banyak, dia merasakan Allah tidak akan mengampunkan dirinya dan sudah pasti dia akan menerima azab neraka di akhirat kelak. Pemikiran begini adalah pemikiran yang salah. Walaupun begitu, kebanyakan orang-orang yang kurang mengetahui, ada yang berfikiran begini. Dia merasakan, ah! Dosaku dah terlalu banyak. Alang-alang dah berbuat dosa, biar puas hati betul. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan – kononnya. Pemikiran seperti ini adalah bertentangan dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

Az-Zumar 53. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sidang pendengar yang dihormati,

Perasaan putus asa ini adalah berasal dari godaan syaitan. Syaitan itu sentiasa berusaha untuk mempengaruhi orang-orang yang beriman dengan cuba melemahkan semangat mereka dan cuba menarik mereka kearah dosa yang lebih berat lagi. Syaitan akan cuba menimbulkan rasa ragu-ragu, rasa tidak yakin dalam hati manusia. Akhirnya keadaan ini akan membuatkan seseorang itu hilang pegangan, hilang keyakinan diri, keimanan pun semakin luntur dan dia akan melakukan dosa seterusnya, dosa yang mungkin lebih besar dari dosa sebelumnya – na’uzubillah. Semoga kita dan keluarga kita tidak termasuk dalam dua golongan orang-orang yang mudah putus asa seperti yang kita sebutkan.

Wallahu a’lam

Wabillahi taufiq wal hidayah….