Kita akan menyambung lagi tazkirah mengenai taubat. Hari ini kita kan membincangkan pula tentang apakah yang patut dilakukan oleh seseorang yang mahu bertaubat. Katakanlah seseorang itu berbuat dosa, tak kiralah samada mengikut hawa nafsunya yang jahat ataupun dilakukan perbuatan dosa itu secara terlanjur atau kebetulan. Apa yang patut dia lakukan?
Ketahuilah bahawa yang wajib bagi orang ini ialah bertaubat dan menyesali diri. Selepas itu, dia mesti berusaha menghapuskan dosa itu dengan membuat kebaikan yang berlawanan dengan perbuatan dosa itu. Contohnya kalau dia selalu menceritakan keburukan si A. Setelah dia sedar, dia menyesal, dia bertaubat, dia mesti cuba membuat kebaikan contohnya memberi hadiah pada si A, memujinya, membantu kerjanya dsb.
Kaedah ini juga eloklah dilakukan bagi orang yang tak mampu nak menolak dosa tersebut dari berlaku kepada dirinya. Kaedah “menolak keburukan dengan kebaikan” ini mampu memadamkan dosa kita dan ianya boleh dilakukan sama ada dengan hati, atau dengan lisan atau dengan anggota badan.
Dengan lain perkataan, andaikanlah seseorang ini susah benar nak meninggalkan sesuatu dosa itu. Puas dia cuba macam-macam cara (kata dialah..) dan bersungguh-sungguh dia nak menjauhkannya tapi tak berjaya lagi. Orang begini janganlah sekali-kali dia lalai daripada membuat amalan-amalah salih yang lain. Sebab apa? Supaya amalan-amalan ini dapat menutup keburukan-keburukan perbuatan dosanya. Orang yang begini, akan tergolong dalam kategori orang-orang yang mencampur aduk amalan baik dengan amalan buruk. Mudah-mudahan Allah hisabnya di akhirat nanti menjadi ringanlah sedikit.
Saya ingin menyebutkan juga tentang 3 kaedah bertaubat iaitu dengan hati, dengan lisan dan dengan anggota badan. Kalau dengan hati, kita hendaklah menundukkan diri kepada Allah s.w.t dan memohon mahgfirah atau keampunan daripadanya, kita mesti merendah diri, merasakan hinanya diri kita, biar terasa di hati bahawa kita tak layak samasekali nak mengangkat muka pun di hadapan tuhan. Kita mengaku salah dengan penuh perasaan dan penuh sedar diri.
Cara bertaubat dengan lisan pula ialah kita mengaku dengan lidah, mengakui kita telah menganiayai diri sendiri. Kita beristighfar dan berkata: Wahai tuhanku! Aku telah melakukan penganiayaan terhadap diriku, dan aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku itu!. Pengakuan lisan ini penting sebab dia menguatkan lagi dan menepati apa yang dirasakan oleh hati. Kalau diikutkan, cakap di mulut itu memang mudah saja, tapi kalau tidak diikutkan dengan tindakan hati, kita tidak akan berjaya mendapat taubat yang hakiki. Jangan berdusta dalam taubat kita. Dimulut lain di hati lain. Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati manusia.
Hati itulah tempat pandangan tuhan. Kalau benar apa yang disebutkan itu, dibenarkan oleh hati, ketika itu akan mengalir airmata pedih dan penyesalan yang menikam diri.
Seterusnya bertaubat dengan anggota badan. Buatlah segala jenis ketaatan – ibadat solat, bersedekah, menolong orang dll. Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Jika engkau mengerjakan kejahatan, maka ikutkanlah ia dengan kebaikan yang akan menebusnya. Yang rahsia dengan secara rahsia, dan yang terang-terangan dengan secara terang-terangan” (Riwayat Baihaqi)
Ingatlah bahawa solat juga dapat menjadi penebus dosa-dosa kecil. Jangan tinggalkan solat lima waktu yang telah difardhukan kepada kita. Solat yang berkesan dapat menjadi perisai atau pendinding dari pekerjaan dosa sebagaimana firman Allah…..
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar"
Dan yang paling pentingnya apabila kita membicaraka bab taubat ini, solat ini rupanya juga boleh menebus dosa-dosa kecil yang kita lakukan atara solat tersebut. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Salat lima waktu itu menjadi penebus dosa-dosa yang berlaku antara solat-solat tersebut, kecuali dosa-dosa besar”.
Selain dari solat, saya juga ingin menyebutkan tentang amalan istighfar. Banyaklah keutamaan istighfar yang telah kita dengar. Tapi kita juga mesti ingat, janganlah lisan saja yang mengucapkan istighfar itu, tidak dituruti dengan hati dan fikiran.
Allah s.w.t telah mengiringkan lafaz istighfar itu dengan kehadiran nabi s.a.w. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sekali-kali Allah tidak akan menyiksa mereka selama engkau (Muhammad) masih ada di sisi mereka, dan sekali-kali Allah tidak akan menyiksa mereka selama mereka beristighfar (meminta ampun)”
Setengah-setengah para sahabat ada menyatakan: Dahulu kami mempunyai dua keamanan, yang mana satu daripadanya telah pergi iaitu Rasulullah s.a.w. Sekarang yang ada hanya istighfar sahaja. Jika istighfar itu pergi, nescaya kami akan binasa sama sekali.
Semoga taubat kita bukan taubat dusta dan istighfar kita bukan hanya dimulut. Semoga Allah mengampuni dosa kita dan dosa muslimin muslimat seluruhnya.
Aqulu qauli haza.. wa astaghfirullahal azim li walakum..
Sunday, November 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment