"Sesungguhnya (segala keterangan Yang disebutkan) ini, menjadi TAZKIRAH (peringatan); maka sesiapa Yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan Yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat)" al-Insan:29

Sunday, September 21, 2008

Ramadhan di perantauan

Ramadhan kali ini begitu berbeza berbanding Ramadhan yang telah kulalui sebelum ini. Aktiviti yang berbeza, pengisian berbeza, 'feeling' yang berbeza, 'environment' yang bebeza dan ujian yang berbeza. Jadual harianku diwarnai berbagai aktiviti yang bagiku amat bermakna dan mendatangkan kepuasan jiwa. Bersyukur aku di atas limpahan rahmat Allah yang memberi aku peluang melalui semua ini.

Surau/masjid universiti ini begitu terisi dengan aktiviti menghidupkan Ramadhan setiap hari. Aku kagum dengan sebahagian muslimin muslimat yang berlumba merebut pahala berganda di bulan ini. Tidak mengira penat lelah dan belanja yang dikeluarkan guna manfaat bersama. Aku malu kerana tidak sebanding mereka. Malu kerana kurangnya bakti yang dapat aku berikan. Malu kepada diriku sendiri, kepada malaikat kiri dan kanan, terasa malu untuk berdoa minta itu dan ini sedang nikmat yang sedia ada tidak pandai aku gunakan untuk berbakti dijalanNya.

Eratnya persaudaraan yang terjalin, lebih daripada sewaktu aku di Malaysia. Setiap petang ada saja juadah yang sampai ke rumah. Berbuka di surau bersama-sama lebih merapatkan silaturrahim, bertadarrus setiap hari, usrah setiap minggu, memasak bersama setiap sabtu menjadikan kami satu keluarga besar yang meriah. Teringat sahabat-sahabat di Malaysia. Jika budaya yang baik begini dapat aku bawa balik nanti, tentu lebih bermakna pengalaman merantau ini.

Kerja-kerja PhDku juga tidak terabai. Cuma disaat akhir persediaan menjadi tutor ini membuat aku sedikit kelam kabut. Moga Allah mudahkan aku. Awal Oktober nanti akan bermula tugasku sebagai tutor. Semoga tugas ini akan mendatangkan kebaikan yang banyak kepada diriku dan orang-orang di sekelilingku.

No comments: