"Sesungguhnya (segala keterangan Yang disebutkan) ini, menjadi TAZKIRAH (peringatan); maka sesiapa Yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan Yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat)" al-Insan:29

Sunday, June 29, 2008

Jaga makan

Bismillah..

Assalamu’alaikum…

Sidang pendengar yang dimuliakan, ada tak sesiapa yang tak pernah makan makanan segera? Jarang kita jumpa orang yang mengaku tidak pernah makan makanan segera. Dalam tazkirah kali ini saya akan menyentuh tentang bab jaga makan. Makan ni antara perkara penting dalam hidup kita. Dari sudut psikologinya, makan ini adalah antara keperluan pertama dalam hidup keperluan-keperluan hidup manusia. Kalau tidak makan, manusia tak boleh hidup.

Dalam memperkatakan bab makan ini, agama kita telah menggariskan panduan-panduannya dengan lengkap. Secara umumnya, Allah s.w.t telah menyebutkan di dalam al-Quran:

2:168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.

Allah Pencipta kita maha tahu keperluan dan keinginan kita. Sememangnya kita telah diciptakan dengan fitrah begitu. Manusia perlukan makanan untuk hidup, dan Allah s.w.t telah menciptakan pula makanan-makanan yang menjadi punca kelangsungan hidup kita. Ada bermacam-macam makanan yang dimakan manusia, tetapi Allah menyebutkan dalam firmannya “makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik..” maksudnya ada antara makanan itu tidak halal dan tidak baik. Islam melarang memakan benda-benda haram, yang kotor, bangkai, darah, daging babi, binatang tak disembelih, kecuali terpaksa.

Sebagai seorang Islam, menjaga makanan adalah antara perkara yang mesti kita utamakan. Makan menjadi ibadah jika kena gayanya. Alangkah untungnya dengan makan kita boleh mendapat pahala. Makan menjadi ibadah jika kita makan kerana Allah, untuk kita sihat, dapat beribadat dan bekerja mencari rezki yang halal. Makanan pula makanan yang halal, dari sumber yang halal. Makan pula dengan kadar sederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir-bazir. Untuk kesihatan juga, kita tidak perlu makan sehingga kenyang tersandar.

Sidang pendengar sekalian,

Dalam kita membincangkan makanan yang baik, tentu kita semua tahu makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging kita. Makanan yang baik dan berkhasiat akan menjadikan badan kita sihat dan dapat mengelakkan penyakit. Menjaga kesihatan badan adalah tuntutan dalam Islam. Umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang boleh memudharatkan dirinya termasuklah memakan sesuatu yang boleh memudharatkan perutnya dan kesihatannya. Kesimpulannya, jika sesuatu makanan itu mengandungi bahan yang kita tidak pasti tahap keselamatannya, kita hendaklah mengelakkan mengambilnya. Apatah lagi sesuatu yang memang kita tahu boleh memudharatkan kesihatan, contohnya rokok.

2:172. Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Cuba kita renung-renungkan, apakah semua yang masuk ke mulut kita ini terdiri dari benda-benda “toyyibaat” seperti yang disebutkan?

Allah telah menyebutkan dalam ayat yang lain bahawa yang dihalalkan bagi kita yang baik-baik dan diharamkan segala yang buruk. Maksudnya kalau sesuatu perkara itu diharamkan, tentulah ada keburukannya, samada kita tahu ataupun tidak.

Sidang pendengar sekalian,

Katalah kita memang telah memilih makanan yang baik, yang berkhasiat, dari sumber pendapatan yang halal, ingatlah ada satu lagi peringatan Allah s.w.t yang mesti juga kita ingat:

7:31…. dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.

Dalam ayat lain juga ada disebutkan bahawa membazir itu adalah amalah syaitan.

Sidang pendengar sekalian,

Semoga jelaslah kepada kita, Islam amat menitikberatkan bab penjagaan makanan. Islam mengajar umatnya memerhati apa yang hendak dimasukkan kemulutnya. Dari mulut turun ke perut. Makanan yang baik akan membawa kebaikan dan kesihatan, makanan yang tidak baik akan merosakkan tubuh badan dan membawa kemudharatan, kesakitan dan menjejaskan kehidupan.

Semoga kita semua bijak memilih makanan. Jauhilah makanan yang tidak bermanfaat kerana kita bukan hidup untuk makan tetapi kita makan untuk meneruskan hidup supaya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sekian, semoga mendatangkan manfaat,

Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu alaikum…

Harta

Sidang pendengar yang dimuliakan,

Dalam tazkirah kali ini, saya ingin mengajak pendengar sekalian berfikir tentang harta. Selagi kita ini bernama manusia, selagi itulah harga itu penting pada kita. Manusia secara umumnya semua berlumba-lumba mencari harta. Dan harta itu semakin dicari semakin rasa tak cukup dan akhirnya manusia terus menerus mengejar harta sehingga maut memanggil mereka. Mari kita cuba renung satu firman Allah yang berbunyi:

20. Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.

Pendengar yang dimuliakan,

Ayat ini telah menerangkan dengan sejelas-jelasnya kedudukan harta disisi manusia. Dijelaskan bahawa harta benda yang direbut-rebutkan di dunia ini hanyalah sementara dan harta benda ini hanyalah untuk kesenangan yang sekejap. Harta yang banyak tidak dapat membantu untuk hidup menongkat langit. Tiba ajalnya akan pergi juga. Maut pun tidak dapat ditolak dengan harta yang banyak. Harta yang banyak juga tidak dapat dibawa bersama ketika mati. Harta yang digunakan untuk jalan kebajikan, pahalanya dapat dibawa sehingga mati, tapi harta yang dikumpul-kumpul semasa hidup hanya dapa diagihkan kepada para warisnya selepas kematiannya.

Pendengar yang dimuliakan,

Kadang-kadang kita melihat orang sanggup bermusuhan kerana harta, ada juga orang sanggup berbunuhan kerana harta. Kenapa ini berlaku? Harta yang direbutkan itu bukan miliknya. Dia tidak pernah mencipta benda atau harta itu, dia juga tidak ada kuasa mengekalkan harta itu pada diri dia selama-lamanya. Dia pun akan musnah juga bila tiba masanya. Dia tidak dapat menghalang dirinya dari dimusnahkan. Dia sendiri adalah milik Allah. Harta bendanya yang direbutkan itu juga milik Allah dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa. Jika kita faham dan dapat menghayati setakat ini sahaja pun sudah cukup untuk membuat kita berfikir dua kali sebelum bergaduh-gaduhan kerana harta.

Mencari harta memanglah digalakkan dalam Islam. Tidak ada halangan langsung untuk kita mencari harta sebanyak mungkin, dengan jalan yang halal semestinya. Allah telah berfirman:

Al-Qasas 77. "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; “

Dalam mendapatkan harta, apa yang mesti selalu kita ingat adalah harta ini adalah amanah Allah kepada kita, dan sifatnya sementara. Dan apabila tiba waktunya, Allah s.w.t akan bertanya kembali kepada manusia tentang amanah tersebut. Lagi banyak harta yang kita ada, lagi lama perkiraan hisabnya di akhirat nanti. Setiap manusia akan ditanya tentang niat dan tujuan mereka dalam menggunakan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Akhirnya, ingatlah bahawa semua harta yang ada pada kita, dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya, semuanya milik Allah s.w.t. Semua harta benda tersebut adalah sebagai amanah untuk kita menjaga dan menggunakannya sebaik-baiknya. Dengannya kita boleh mendapat ganjaran yang banyak dan dengan harta juga boleh menyebabkan kita terjerumus dalam neraka – nauzubillah..

Sekian, wassalamu’alaikum

Allah mengetahui rahsia hati

Assalamu’alaikum..

Sidang pendengar yang dimuliakan.

Kita semua tahu bahawa Allah s.w.t mengetahui semua perkara. Apa yang ada di langit, di bumi, malah apa yang ada dalam hati manusia. Tetapi adakah pengetahuan tentang perkara itu benar-benar mendatangkan manfaat pada kita atau kita hanya tahu tetapi bersikap seolah-olah tidak tahu dan tidak pedulikan bahawa Allah s.w.t itu benar-benar mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Mari kita sama-sama renungkan satu firman Allah:

At-Taghabun:4. Ia mengetahui Segala Yang ada di langit dan di bumi; dan ia mengetahui Segala Yang kamu rahsiakan serta Yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa mengetahui Segala (isi hati) Yang terkandung di Dalam dada;

Jika dihayati betul ayat ini, nescaya kita manusia ini tidak berani memikirkan sesuatu yang jahat atau bukan-bukan. Apakan tidaknya, dimanakah kita hendak pergi atau dimanakah kita dapat sorokkan diri dari pengetahuan Allah? Kita hamba Allah, hidup atas rezki yang diberikanNya dan sentiasa memerlukan pertolonganNya. Oleh yang demikian itu, bagi setiap orang yang beriman, bukan sahaja dia mesti melakukan setiap sesuatu mengikut syari’at (sebab Allah s.w.t mengetahui setiap perbuatan manusia) tetapi juga mesti menjaga apa yang ada dalam hatinya – sebab Allah s.w.t juga tahu apa yang terdetik dihati. Allah s.w.t maha mengetahui samada seseorang itu ikhlas ataupun tidak melalukan sesuatu pekerjaan / ibadah.

Sidang pendengar sekalian,

Seseorang yang mengaku beriman, seharusnya dia amat menjaga apa yang ada dalam hatinya sama seperti dia menjaga tingkahlaku atau perbuatannya zahirnya. Janganlah sekali-kali kita fikir bahawa dendam kesumat yang kita pendam dalam hati itu tidak diketahui sesiapa. Allah menegaskan dalam firmanNya:


Al-Mulk 13. Dan tuturkanlah perkataan kamu Dengan perlahan atau Dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan Segala (isi hati) Yang terkandung di Dalam dada.

14. Tidakkah Allah Yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha mendalam PengetahuanNya!

Allah s.w.t Taala telah menegaskan dalam al-Quran bahawa setiap perbuatan manusia ini nanti akan dihisab semuanya pada hari Kiamat. Jika di dunia ini, manusia boleh menyediakan berbagai-bagai alasan, berbagai-bagai helah untuk melepaskan diri dari sebarang tuduhan. Di dunia ini ramai manusia terlepas dari hukuman kerana mereka pandai menutup bukti atau berlakon menjadi baik. Mereka boleh menyembunyikan perbuatan mereka dan merahsiakan apa di dalam hati mereka. Manusia biasa tidak akan dapat mengesan apa yang tersembunyi dalam hatinya. Teknologi terkini dengan alat pengesan orang berbohong pun tidak banyak membantu dan tidak dapat menterjemah apa yang ada dalam hati. Allah s.w.t menegaskan bahawa semuanya akan dibongkar pada hari Kiamat nanti sebagaimana firmanNya:


Al-Mujadalah 7. Tidakkah Engkau memikirkan, Bahawa Sesungguhnya Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi? tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah Yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah Yang keenamnya, dan tiada Yang kurang dari bilangan itu dan tiada Yang lebih ramai, melainkan ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. kemudian ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa Yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Pendengar yang dimuliakan

Jika demikianlah halusnya pemerhatian Allah s.w.t ke atas kita, apakah kita masih lagi tidak merasakan pentingnya menjaga hati kita, mengikhlaskan niat semua pekerjaan kita adalah semata-mata sebagai ibadah kepadaNya. Amalan yang tidak ikhlas tidak akan mendapat pahala ibadah. Hatilah tempat letaknya ikhlas dan Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.

Wallahu a’lam.

Putus asa


TAZKIRAH BULAN MAC 2007

Disediakan oleh Aini bt. Ahmad
Universiti Malaysia Pahang
Untuk Pahang FM

Tazkirah 1: Putus asa


Bismillah…Assalamu’alaikum..

Pendengar yang dimuliakan,

Pernahkah sesekali dalam hidup ini kita didatangi perasaan putus asa? Ataupun pernahkah kita melihat orang putus asa? Ataupun pernah mendengar cerita orang putus asa. Putus asa bukanlah satu perasaan luar biasa malah satu perasaan yang normal dialami oleh sesetengah orang. Perasaan ini membuatkan seseorang itu tidak gembira, tidak tenang dan menanggung rasa kecewa yang berat. Perasaan putus asa ini boleh kita bahagikan kepada dua iaitu:

Pertama: Putus asa bila berhadapan dengan sesuatu kesukaran atau halangan. Dalam keadaan ini, seseorang itu bila menghadapi susah, dia merasa dirinya tidak mampu menangungnya, sudah tidak tertahan lagi. Sebagai seorang yang beriman, dia tidak seharusnya ada perasaan begitu. Orang mukmin mestilah selalu ingat bahawa Allah s.w.t Maha Tahu apa yang diberikannya pada kita. Allah Maha Tahu kemampuan kita yang sebenarnya. Kesusahan atau kesempitan yang kita alami itu mesti kita terima dengan penuh redha. Kita tahu bahawa Allah s.w.t akan menguji hambanya dengan berbagai keadaan seperti firmanNya:


Al-Ankabut 2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Pendengar yang dihormati,

Sekiranya kita bersabar dengan ujian tersebut, Allah s.w.t akan mengurniakan ganjaran yang besar. Selain itu, orang-orang yang sabar juga akan mendapat darjat yang tinggi dalam kalangan orang-orang beriman. Oleh yang demikian itu, janganlah kita cepat berputus asa. Dan kalau kita bimbang kita tidak mampu menerima atau menanggung ujian-ujian dari Allah s.w.t., mana tahu ujian itu terlalu berat dan kita tidak yakin akan dapat menanganinya dengan baik, biasakanlah diri membaca doa ini. Doa ini biasa dibaca selepas sembahyang iaitu satu ayat dari surah al-Baqarah iaitu:

Al-Baqarah 286. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

Sidang pendengar yang dimuliakan,

Dalam keadaan yang Kedua:, iaitu yang lebih bahaya lagi apabila seseorang itu berputus asa dengan keampunan daripada Allah setelah melakukan kesalahan ataupun dosa. Contohnya dia fikir bahawa dosanya dah terlalu banyak, dia merasakan Allah tidak akan mengampunkan dirinya dan sudah pasti dia akan menerima azab neraka di akhirat kelak. Pemikiran begini adalah pemikiran yang salah. Walaupun begitu, kebanyakan orang-orang yang kurang mengetahui, ada yang berfikiran begini. Dia merasakan, ah! Dosaku dah terlalu banyak. Alang-alang dah berbuat dosa, biar puas hati betul. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan – kononnya. Pemikiran seperti ini adalah bertentangan dengan apa yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

Az-Zumar 53. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sidang pendengar yang dihormati,

Perasaan putus asa ini adalah berasal dari godaan syaitan. Syaitan itu sentiasa berusaha untuk mempengaruhi orang-orang yang beriman dengan cuba melemahkan semangat mereka dan cuba menarik mereka kearah dosa yang lebih berat lagi. Syaitan akan cuba menimbulkan rasa ragu-ragu, rasa tidak yakin dalam hati manusia. Akhirnya keadaan ini akan membuatkan seseorang itu hilang pegangan, hilang keyakinan diri, keimanan pun semakin luntur dan dia akan melakukan dosa seterusnya, dosa yang mungkin lebih besar dari dosa sebelumnya – na’uzubillah. Semoga kita dan keluarga kita tidak termasuk dalam dua golongan orang-orang yang mudah putus asa seperti yang kita sebutkan.

Wallahu a’lam

Wabillahi taufiq wal hidayah….

Taubat 4

Siapakah diantara kita yang tidak pernah terkena penyakit? Siapakah antara kita yang tidak pernah menggunakan ubat-ubatan untuk mengubati penyakitnya? Semua penyakit ada ubatnya kecuali mati. Kalau kita sakit, kita akan berusaha untuk mencari ubat untuk menyembuhkan sakit kita. Tapi tahukan kita dosa itu juga sebenarnya adalah penyakit dan kalau dosa itu adalah sejenis penyakit, apa pula ubat kepada penyakit ini? Jawapannya ada dalam sebuah hadith di mana Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: “Setiap penyakit itu ada ubatnya, dan ubat dosa-dosa ialah istighfar”

Dalam tazkirah kali ini saya akan menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan istighfar untuk kita manfaatkan bersama. Amalan istighfar ini amat digalakkan sebab kita sebagai manusia ini sememangnya sentiasa terdedah kepada dosa. Janganlah menunggu dosa dah bertompok-tompok baru kita nak beristighfar. Rasulullah s.a.w sendiri amat banyak meminta ampun daripada Allah walaupun baginda seorang yang maksum. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku memohon ampun sebanyak 70 kali sehari semalam”.

Kita manusia biasa ini tentulah perlu lebih banyak lagi beristighfar, maklumlah dosa kita ini hanya Allah yang tahu. Istighfar nabi s.a.w itu bukanlah disebabkan dari dosanya tetapi sebagai meningkatkan darjatnya disisi Allah. Setiap hamba Allah mempunyai kekurangan masing-masing. Memperbanyak istighfar mengangkat darjat seseorang hamba yang memang ada kekurangan itu. Ibadat kita banyak kekurangannya sebagai contoh, maka kita perlulah beristighfar mudah-mudahan dapat ditutup kekurangan tersebut.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

“Apabila seseorang hamba itu melakukan satu dosa dititikkan hatinya dengan setitik hitam. Jika ia memohon keampunan dan bertaubat hatinya menjadi jernih bersih. Jika ia kembali melakukan dosa hatinya bertambah kelam hingga menebal, dan itulah yang dinamakan raan… iaitu karat hati seperti yang disebutkan dalam firman Allah:

14. Sekali-kali jangan begitu, bahkan telah berkarat hati mereka oleh kerana dosa yang telah diperbuatnya.

Rasulullah bersabda:

Ertinya: “Istighfar itu memakan segala dosa sepertimana api memakan kayu yang kering”

Jika kita merujuk buku-buku doa, terdapat banyak bacaan-bacaan istighfar dan fadhilat-fadhilatnya yang tertentu. bacalah mana-mana bacaan istighfar yang mudah pada kita, insya Allah akan bermanfaat pada diri kita. Manfaat ini bukan hanya diampunkan Allah daripada dosa saja, tetapi juga manfaat dalam bentuk yang lain iaitu mendatangkan rezeki:

“Kathratul istighfar tajlibur rizqa”

Banyak beristighfar itu mendatangkan rezeki.

Ibnu Malik r.a mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendirikan solat subuh, maka perbanyakkanlah istighfar. Lalu kami berkata: Wahai Rasulullah, ajarkanlah kami sesuatu agar kami dapat memohon ampun kepada Allah Taala. Baginda lalu bersabda:

Ertinya: Ya Allah, Tuhan kami, Kami mohon ampun kepadaMu dan kami bertaubat kepadaMu dari setiap dosa yang kami telah mengetahuinya dan yang belum kami mengetahuinya pada waktu malam dan siang”

Barangsiapa membacanya secara berkekalan, Allah akan membukakan pintu rezeki untuknya dan menutupkan segala pintu kemiskinan kepadanya. Ini disebutkan dalam kitab “Riyadhussalihiin”.

Dalam riwayat yang lain, nabi juga pernah bersabda yang ertinya:

“Perbanyakkanlah kamu beristighfar, barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar nescaya Allah menjadikan untuknya jalan keluar dari setiap kedukaan dan kesusahan serta memberinya rezeki dari sumber yang tidak dijangka-jangkakan. (iaitu daripada arah yang tidak terlintas di dalam hatinya dan tidak diduga jalannya)

Sama-samalah kita memperbanyak istighfar. Tak ada ruginya malah banyak keuntungan yang akan kita perolehi didunia dan insya Allah dapat memetik hasilnya di akhirat kelak.

Aqulu qauli haza….

Taubat 3

Kita baru saja melalui bulan Ramadhan, bulan penuh berkah dan andainya amal ibadat kita diterima, seluruh dosa kita dengan Allah s.w.t diampunkan. Apa yang kita harapkan adalah kita akan berkekalan membersihkan diri dari dosa-dosa yang mendatangi selepas daripada itu. Jika kita rajin bertaubat kepada Allah s.w.t., nescaya kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Orang yang bertaubat dari sesuatu dosa seperti orang yang tidak berdosa”

Bagi manusia biasa seperti kita, melakukan dosa adalah sesuatu yang amat sukar dielakkan. Manusia yang berdosa, tempat kembalinya adalah neraka. Adakah kita mahu berkekalan dalam dosa dan menempah azab di akhirat kelak? Allah s.w.t yang Maha Pengasih Penyayang memberikan jalan bagaimana kita dapat menghapus dosa itu iaitulah dengan bertaubat.

Demikianlah penyelesaiannya kepada masalah dosa ini. Memang ada banyak firman Allah dan sabda Rasulullah yang merujuk kepada anjuran bertaubat.

An Nuur 31. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

Saya akan membawakan pada setiap pagi sabtu berikutnya berkenaan persoalan taubat yang diolah dari kitab asal Ihya Ulumuddin karangan imam al-Ghazali. Pada kali ini, kita akan melihat tentang hakikat taubat itu sendiri. Pertamanya yang paling penting adalah ilmu, iaitu ilmu tentang besar dan bahayanya dosa itu. Dia sedar dosa itu seperti dinding yang memisahkannya dengan Yang Maha Pencipta. Ada rasa sedih dalam hatinya sebab dia telah membuat sesuatu yang dibenci oleh Tuhannya. Apa rasanya kalau orang yang sangat kita kasihi benci pada kita. Tentulah kita rasa sangat sedih. Itu baru manusia, bagaimana pula jika yang benci kepada kita itu adalah Allah s.w.t, Pencipta kita, tempat pergantungan dan pengharapan kita. Kesedihan inilah yang menghasilkan rasa penyesalan diatas perbuatan dosa kita. Kalau diperhatikan betul disini, hanya orang yang ada rasa hubungan dan unsur kecintaan pada tuhan yang akan merasai penyesalan membuat dosa. Seterusnya apabila ada rasa sesal, datanglah pula kemahuan untuk bertindak mengatasi keadaan itu iaitu meninggalkan dosa yang dilakukannya itu dan juga untuk mengelakkan rasa sesal seperti itu di masa depan, dia juga akan bercita-cita untuk meninggalkan dosa itu yang membuatkannya jauh dari yang dikasihinya iaitu Allah s.w.t. Hanya keimanan dan keyakinan seseorang itu kepada Allah sahajalah yang dapat mendatangkan rasa kesal sebab dia berasa bahawa dia telah terdinding dari yang dicintainya iaitu Allah s.w.t.

Dalam pengertian lain, taubat itu bererti meninggalkan maksiat serta merta dan berazam akan terus meninggalkannya pada masa hadapan dan mengganti apa yang dah terlanjur dari dosa itu. Wajib kita menyesal dengan dosa yang telah kita buat. Kewajipan taubat ini jelas disebutkan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith2 dan bila kita sebut sesuatu itu wajib, ingatlah bahawa Allah s.w.t akan membalas dengan kebahagiaan bagi sesiapa yang mengikutnya dan balasan kecelakaan bagi yang menolaknya. Yang bahagia akan beroleh syurga dan yang celaka akan menduduki neraka.

At-Tahrim 8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…

Dalam surah al-Baqarah ayat 222:

222. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.

Pekerjaan taubat ini tidaklah boleh ditangguh-tangguhkan. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal Allah s.w.t menunggu taubat kita pada bila-bila masa saja. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal kita tak tahu bila kita akan dijemput pulang. Luqmanul Hakim berkata kepada puteranya:! Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat, kerana mati itu selalunya datang dengan tiba-tiba! Maka berangsiapa yang meninggalkan penyegeraaan kepada taubat dengan berlengah-lengah, maka dia akan berada di antara dua bahaya yang besar.

Pertama: Akan bertumpuk-tumpuk kegelapan maksiat itu ke atas hatinya, sehingga menjadi karat-karat dan berbekas, dan ketika itu hati sukar dapat menerima penghapusan lagi.

Kedua: Akan ditimpa penyakit yang kronik atau maut, sehingga dia tiada mendapat peluang bekerja uantuk menghapuskannya.

Orang yang bertaubat itu samalah seperti orang yang membasuh pakaiannya yang terkena kotor. Kita ibaratkan dosa itu sebagai kekotoran. Sepatutnya bila ada peluang membersihkannya, hendaklah dia segera membersihkannya supaya pakaian itu kelihatan bersih dan suci. Kenapa nak ditangguh-tangguhkan lagi sampai esok sampai lusa? Menuggu hari esok itu akan lebih mengotorkan pakaian tadi, kerja membersihkannya akan menjadi lebih sukar. Kalau hari ni sibuk sangat tak sempat nak cuci, mungkin hari esok lebih sibuk lagi, atau hari lusa juga sibuk lagi. Sementara itu pakaian itu hari demi hari semakin melekat kotorannya dan semakin sukar dibersihkan. Sehari demi sehari, hari ini tunggu hari esok, esok tunggu lusa, akhirnya maut sudah menunggu di depan pintu, maka akan pulanglah dia menemui Allah s.w.t dalam keadaan yang kotor, penuh dosa dan kesalahan. Apakah kita mahu keadaan ini berlaku pada kita? Sama-samalah kita berfikir, moga-moga diberikan Allah petunjuk untuk membetulkan diri kita sebelum terlambat.

Sekian,…

Sunday, November 26, 2006

Taubat 2

Kita akan menyambung lagi tazkirah mengenai taubat. Hari ini kita kan membincangkan pula tentang apakah yang patut dilakukan oleh seseorang yang mahu bertaubat. Katakanlah seseorang itu berbuat dosa, tak kiralah samada mengikut hawa nafsunya yang jahat ataupun dilakukan perbuatan dosa itu secara terlanjur atau kebetulan. Apa yang patut dia lakukan?

Ketahuilah bahawa yang wajib bagi orang ini ialah bertaubat dan menyesali diri. Selepas itu, dia mesti berusaha menghapuskan dosa itu dengan membuat kebaikan yang berlawanan dengan perbuatan dosa itu. Contohnya kalau dia selalu menceritakan keburukan si A. Setelah dia sedar, dia menyesal, dia bertaubat, dia mesti cuba membuat kebaikan contohnya memberi hadiah pada si A, memujinya, membantu kerjanya dsb.

Kaedah ini juga eloklah dilakukan bagi orang yang tak mampu nak menolak dosa tersebut dari berlaku kepada dirinya. Kaedah “menolak keburukan dengan kebaikan” ini mampu memadamkan dosa kita dan ianya boleh dilakukan sama ada dengan hati, atau dengan lisan atau dengan anggota badan.

Dengan lain perkataan, andaikanlah seseorang ini susah benar nak meninggalkan sesuatu dosa itu. Puas dia cuba macam-macam cara (kata dialah..) dan bersungguh-sungguh dia nak menjauhkannya tapi tak berjaya lagi. Orang begini janganlah sekali-kali dia lalai daripada membuat amalan-amalah salih yang lain. Sebab apa? Supaya amalan-amalan ini dapat menutup keburukan-keburukan perbuatan dosanya. Orang yang begini, akan tergolong dalam kategori orang-orang yang mencampur aduk amalan baik dengan amalan buruk. Mudah-mudahan Allah hisabnya di akhirat nanti menjadi ringanlah sedikit.

Saya ingin menyebutkan juga tentang 3 kaedah bertaubat iaitu dengan hati, dengan lisan dan dengan anggota badan. Kalau dengan hati, kita hendaklah menundukkan diri kepada Allah s.w.t dan memohon mahgfirah atau keampunan daripadanya, kita mesti merendah diri, merasakan hinanya diri kita, biar terasa di hati bahawa kita tak layak samasekali nak mengangkat muka pun di hadapan tuhan. Kita mengaku salah dengan penuh perasaan dan penuh sedar diri.

Cara bertaubat dengan lisan pula ialah kita mengaku dengan lidah, mengakui kita telah menganiayai diri sendiri. Kita beristighfar dan berkata: Wahai tuhanku! Aku telah melakukan penganiayaan terhadap diriku, dan aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku itu!. Pengakuan lisan ini penting sebab dia menguatkan lagi dan menepati apa yang dirasakan oleh hati. Kalau diikutkan, cakap di mulut itu memang mudah saja, tapi kalau tidak diikutkan dengan tindakan hati, kita tidak akan berjaya mendapat taubat yang hakiki. Jangan berdusta dalam taubat kita. Dimulut lain di hati lain. Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati manusia.

Hati itulah tempat pandangan tuhan. Kalau benar apa yang disebutkan itu, dibenarkan oleh hati, ketika itu akan mengalir airmata pedih dan penyesalan yang menikam diri.

Seterusnya bertaubat dengan anggota badan. Buatlah segala jenis ketaatan – ibadat solat, bersedekah, menolong orang dll. Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Jika engkau mengerjakan kejahatan, maka ikutkanlah ia dengan kebaikan yang akan menebusnya. Yang rahsia dengan secara rahsia, dan yang terang-terangan dengan secara terang-terangan” (Riwayat Baihaqi)

Ingatlah bahawa solat juga dapat menjadi penebus dosa-dosa kecil. Jangan tinggalkan solat lima waktu yang telah difardhukan kepada kita. Solat yang berkesan dapat menjadi perisai atau pendinding dari pekerjaan dosa sebagaimana firman Allah…..
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar"

Dan yang paling pentingnya apabila kita membicaraka bab taubat ini, solat ini rupanya juga boleh menebus dosa-dosa kecil yang kita lakukan atara solat tersebut. Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Salat lima waktu itu menjadi penebus dosa-dosa yang berlaku antara solat-solat tersebut, kecuali dosa-dosa besar”.

Selain dari solat, saya juga ingin menyebutkan tentang amalan istighfar. Banyaklah keutamaan istighfar yang telah kita dengar. Tapi kita juga mesti ingat, janganlah lisan saja yang mengucapkan istighfar itu, tidak dituruti dengan hati dan fikiran.

Allah s.w.t telah mengiringkan lafaz istighfar itu dengan kehadiran nabi s.a.w. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sekali-kali Allah tidak akan menyiksa mereka selama engkau (Muhammad) masih ada di sisi mereka, dan sekali-kali Allah tidak akan menyiksa mereka selama mereka beristighfar (meminta ampun)”

Setengah-setengah para sahabat ada menyatakan: Dahulu kami mempunyai dua keamanan, yang mana satu daripadanya telah pergi iaitu Rasulullah s.a.w. Sekarang yang ada hanya istighfar sahaja. Jika istighfar itu pergi, nescaya kami akan binasa sama sekali.

Semoga taubat kita bukan taubat dusta dan istighfar kita bukan hanya dimulut. Semoga Allah mengampuni dosa kita dan dosa muslimin muslimat seluruhnya.
Aqulu qauli haza.. wa astaghfirullahal azim li walakum..