Tuesday, July 1, 2008
Bio mekanik solat 1
Sunday, June 29, 2008
Selepas ramadhan
Kita baru saja melalui bulan Ramadhan, bulan penuh berkah dan andainya amal ibadat kita diterima, seluruh dosa kita dengan Allah s.w.t diampunkan. Apa yang kita harapkan adalah kita akan berkekalan membersihkan diri dari dosa-dosa yang mendatangi selepas daripada itu. Jika kita rajin bertaubat kepada Allah s.w.t., nescaya kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.
“Orang yang bertaubat dari sesuatu dosa seperti orang yang tidak berdosa”
An Nuur 31. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.
At-Tahrim 8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…
Dalam surah al-Baqarah ayat 222:
222. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.
Pekerjaan taubat ini tidaklah boleh ditangguh-tangguhkan. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal Allah s.w.t menunggu taubat kita pada bila-bila masa saja. Patutkah kita tangguh-tangguhkan taubat itu, padahal kita tak tahu bila kita akan dijemput pulang. Luqmanul Hakim berkata kepada puteranya:! Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat, kerana mati itu selalunya datang dengan tiba-tiba! Maka berangsiapa yang meninggalkan penyegeraaan kepada taubat dengan berlengah-lengah, maka dia akan berada di antara dua bahaya yang besar.
Pertama: Akan bertumpuk-tumpuk kegelapan maksiat itu ke atas hatinya, sehingga menjadi karat-karat dan berbekas, dan ketika itu hati sukar dapat menerima penghapusan lagi.
Kedua: Akan ditimpa penyakit yang kronik atau maut, sehingga dia tiada mendapat peluang bekerja uantuk menghapuskannya.
Puasa 3
Bismillah..
Assalamu’alaikum…
Dalam tazkirah yang lalu, kita telah mendengar tentang apa yang dinamakan tingkatan-tingkatan puasa. Kalau saudara pendengar ingat lagi, puasa ada tiga tingkatan, pertama puasa umum, kedua puasa khusus dan ketiga puasa paling khusus. Hari ini kita kita akan bincangkan pula tentang bagaimana hendak mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu iaitu puasa khusus.
Perkara yang amat penting yang mesti kita jaga untuk mencapai kesempurnaan ini adalah menahan pandangan kita daripada segala hal yang makruh dan dari apa saja yang dapat mengganggu dan melalaikan kita daripada mengingat Allah. Bukankah kita sedang berusaha untuk memastikan diri kita ini sentiasa berada dalam keadaan berzikir dan mengingati Allah. Tak perlulah mulut kita kumat kamit tetapi dalam hati kita sentiasa ada ingatan kepada Allah s.w.t. Setiap kali jantung berdegup, setiap kali itu juga kita mengingati Allah, mensyukuri nikmat yang diberikan. Ada kajian yang menunjukkan sebenarnya jantung itu yang disangkakan bunyinya dub dub dub itu sebenarnya berbunyi rab rab rab iaitu yang bermaksud tuhan dalam bahasa arab.
”Barangsiapa yang meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendaangkan kemanisan dalam hatinya”
Perkara kedua yang untuk kita mencapai tingkatan kedua puasa adalah menjaga lidah daripada sebarang perkataan yang keji, mengumpat, menipu, cakap yang sia-sia dan yang sejenis dengannya. “Dua perkara merosakkan puasa” mafhum sabda Rasulullah s.a.w “iaitu mengumpat dan berbohong”
Wanita itu memuntahkan nanah, darah dan daging sampai setengah mangkuk. Kemudian baginda menyuruh pula wanita yang satu lagi, ”Muntahlah”. Wanita itu memuntahkan nanah, darah dan daging sampai penuh mangkuk tersebut. Kemudian Rasulullah bersabda:
(HR Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)
Perkara yang keenam dan terakhir adalah memastikan hati kita sentiasa berada dalam keadaan raja’ dan khauf iaitu perasaan harap dan takut. Merasa takut kepada kebesaran Allah dan bimbang jika ibadat kita tidak sempurna dan tidak diterima oleh Allah dan dalam masa yang sama penuh pengharapan kepada rahmat dan pengampunan dari Allah s.w.t.
Sekian untuk kali ini semoga kita mendapat manfaat.
Puasa 2
Bismillah...
Assalamu’alaikum...
Dalam tazkirah kali ini, saya akan membicarakan tentang tingkatan-tingkatan puasa. Apakah yang dikatakan tingkatan puasa itu? Dalam dunia ini, apa saja ujian atau peperiksaan yang kita hadapi, bila dinilai, kita akan tahu keputusannya atau gred, tingkatan atau tahapnya. UPSR, PMR, SPM dan sebagainya, semuanya ada tahap yang menentukan berjaya, gagal atau sederhana pencapaian seseorang pelajar itu. Begitu juga dengan puasa. Kita tahu puasa ini satu ujian dan dalam menjalani ujian ini, manusia yang berpuasa ini terbahagi kepada beberapa bahagian menurut Imam al-Ghazali:
Puasa umum ataupun puasa orang awam adalah puasa di tahap yang paling rendah iaitu menahan makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Orang-orang yang termasuk dalam kategori ini menunaikan puasanya tidak lebih dari menahan lapar dan dahaga. Dia tidak peduli untuk menjaga tingkahlakunya, apa perkataan yang keluar dari mulutnya, apa yang dikerjakannya. Biasa saja semuanya. Mengumpat orang macam biasa, menyakiti hati orang dengan perkataan dan perbuatannya. Buat perkara-perkara haram tanpa memikirkan langsung yang dia berada dalam bulan Ramadhan atau bulan puasa dimana di mesti memastikan puasanya puasa berkualiti.
Peringkat yang kedua adalah peringkat puasa khusus. Pada peringkat ini, seseorang yang berpuasa itu bukan hanya menjaga dan menahan dirinya dari yang tiga tadi iaitu makan, minum dan meninggalkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi dalam masa yang sama dia juga berusaha menjaga memelihara seluruh anggota tubuhnya daripada sebarang perbuatan maksiat atau yang boleh mendatangkan dosa. Pada tingkatan ini, seseorang itu cuba sebolehnya menjaga akhlaknya dan cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat bagi menambah kualiti puasanya.
Tingkatan seterusnya adalah tingkatan puasa paling khusus. Puasa golongan ini bukan setakat menjada diri dari perkara yang membatalkan puasa malah lebih jauh daripada itu. Mereka sangat mementingkan amalan-amalan sunat. Keseluruhan anggota badan mereka berpuasa. Hati-hati mereka sentiasa berzikir menyebut dan mengingati nama Allah. Hati mereka berpuasa dari segala kehendak-kehendak duniawi yang tidak berkaitan akhirat. Bukan asyik berfikir saja berbuka nanti hendak makan apa? Raya nanti nak pakai baju warna apa dan sebagainya. Mereka lebih mementingkan keredhaan Allah s.w.t berbanding segala keperluan duniawi ini. Puasa ini adalah puasa nabi-nabi, siddiqin dan muqarrabin.
Demikian telah saya sebutkan beberapa tingkatan puasa untuk sama-sama kita renungkan. Mungkin sukar untuk kita mengikuti puasa tingkatan ketiga tetapi kita boleh berusaha untuk mencapai tingkatan kedua sekurang-kurangnya. Janganlah biarkan puasa kita puasa yang rendah kualiti dan tidak bermakna untuk dipersembahkan kepada Allah tuhan sekalian alam.. Bukankan kita telah berikrar dalam setiap solat fardhu kita menyatakan bahawa solat kita, seluruh ibadat kita, hidup dan mati kita semuanya lillahi Taala.
Puasa 1
Assalamu’alaikum...
Saudara pendengar yang dimuliakan,
Hari ini masuk hari ke-4 kita berpuasa. Alhamdulillah, ramai di antara kita dapat melaksanakannya dengan baik. Masjid-masjid dan surau kita meriah di waktu malam dengan aktiviti-aktiviti ibadah, bertarawikh dan lainnya. Kita mesti selalu ingat bahawa Ramadhan ini adalah madrasah bagi mendidik nafsu dan jiwa agar menjadi lebih baik. Janganlah kita jadikan bulan ini bulan menjamu nafsu selera sepuas-puasnya waktu berbuka.
Semua umat Islam mengetahui kewajipan berpuasa dan kita semua tahu perintah berpuasa adalah perintah yang besar. Kenapa kita katakan besar? Kerana ia adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya;
Saudara pendengar yang dihormati,
Dalam tazkirah kali ini, saya ingin berkongsi dengan saudara pendengar sekalian 5 perkara seperti yang disarankan oleh nabi kita s.a.w untuk kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan ini. Kita tahu dalam bulan ini kita sangat digalakkan membuat amal kebaikan kerana pahala yang dijanjikan adalah berlipat kali ganda.
- Perbanyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk. Maksudnya kita hendaklah memperbanyakkan zikir, mengingati Allah sepanjang masa, setiap detik dan waktu, jika boleh pada setiap degup jantung itu bersama dengan satu kalimah Allah. Kalau selama ini kita lebih banyak bercakap tentang makhluk, tentang orang itu begitu, orang ini begini, masalah orang itu, masalah orang ini, kita mulakanlah pada ramadhan in untuk memperbanyakkan menyebut nama Allah berbanding menyebut nama manusia. Sedetik kita mensyukuri nikmat Allah yang dikurnia kepada kita juga dikira sebagai mengingati Allah.
Firman Allah:....
”Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”
- Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Sepanjang tahun ini atau sebelas bulan yang lalu kita dah banyak sangat bercakap tentang urusan dunia. Untuk satu bulan ini saja kita biasakan diri banyakkan menyebut urusan akhirat pula. Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: Carilah apa yang disediakan oleh Allah untukmu di akhirat tetapi jangan kamu lupa nasib kamu di dunia ini.
Kita disuruh mencari kedua-duanya sekali, jadi janganlah asyik memikir dan menyebut urusan dunia sahaja. Alangkah baiknya dalam sebulan ini kita cuba menyebut-nyebut tentang akhirat pula. Semoga nanti selepas Ramadhan, kita akan sentiasa ingat bahawa dunia ini bukanlah segala-galanya untuk kita rebutkan. Semoga kita selalu ingat bahawa akhiratlah tempat akhir tempat abadi yang kita semua sedang menuju padanya. Apalah dunia ini jika nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya nanti.
- Memperbanyak menyebut dan mengingat hal kematian daripada hal kehidupan. Setiap hari daripada celik mata kita di pagi hari kita dah membayangkan apa nak dibuat pada hari itu. Apa yang akan kita buat di tempat kerja, apa tugasan yang belum siap lagi. Ada janji dengan orang sana sini, urusan anak isteri atau suami. Itulah perkara-perkara yang selalu membuat kita lupa atau kurang memikirkan tentang hal kematian. Rasulullah pernah menyebutkan bahawa orang yang paling cerdik adalah orang yang selalu mengingati mati. Jadi dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita banyakkan mengingati mati.
- Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Ada orang yang suka menyebut-nyebut kebaikan dirinya dihadapan orang lain. Ada saja modalnya yang bermotifkan bangga diri walaupun tak secara langsung. Bangga dengan kejayaan dirinya, bangga dengan pencapaian dirnya atau keluarganya dan sebagainya. Ambil masa untuk berfikir dulu sebelum bercakap. Jika berkaitan kebaikan dirinya atau kebaikan keluarganya yang nak diceritakan, lebih baiklah dia diam sahaja sebab perkara itu boleh menjejaskan puasanya.
- Janganlah cuba menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Menceritakan keburukan orang lain dah tentunya haram tetapi apa yang ingin saya sampaikan ini adalah perbuatan cuba menampakkan keaiban orang lain. Dengan lain perkataan, kita tidak memburukkan orang itu secara langsung tetapi secara yang tersirat.
Semoga lima pesanan ini dapat kita manfaatkan dalam kehidupan dan semoga amalan kita diterima Allah.
Perkara yang penting diutamakan 2
Bismillah…
Assalamu’alaikum..
Sidang pendengar yang dimuliakan.
Kita akan menyambung lagi huraian berkaitan perkara yang penting mesti diutamakan. Dalam Islam, sesuatu perkara itu boleh menjadi utama pada satu masa dan boleh juga menjadi tidak utama pada masa yang lain. Masyarakat kita jarang dapat membezakan kedua masa ini dengan sewajarnya.
Ibadah haji, umrah kali kedua dan seterusnya itu adalah dalam kategori sunat dan bukan wajib lagi. Tetapi tugas memerangi orang kafir yang menceroboh dan mencabul hak-hak dan kehormatan orang-orang Islam adalah tugas yang telah difardhukan dan ditetapkan oleh Shari’at Islam.
Alangkah untungnya dan alangkah baiknya jika mereka yang pergi menunaikan ibadah haji sunat atau umrah sunat ini bertolak ansur dan mengalih perhatian dan menyalurkan peruntukan kewangan yang besar itu untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada kaum Muslimin dan Muslimat yang sedang dilanda kemelut kesengsaraan, kehancuran kerohanian dan kebendaan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam seluruh dunia.
Bagi gologan berkemampuan yang ingin pergi menunaikan haji dan umrah lain, mereka ingin pergi lagi keran kerinduan, kegembiraan dan kebahagiaan ketika di tanah suci. Jika mereka memahami fiqh keutamaan yang sebenar, tentulah mereka akan merasa sangat bahagia dan gembira serta puas hati apabila mampu memberikan peruntukan haji tersebut kepada Islam yang lain seperti memberi makan orang miskin, memelihara anak yatim, menyediakan tempat tinggal untuk pelarian yang terusir dari tanahair mereka, beri pendidikan, peluang pekerjaan dan lain-lain lagi. Alangkah ramai yang akan mendapat manfaat berbanding kepuasannya seorang ketika pergi menunaikan haji/umrah sunat tersebut.
Ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang meninggalkan pengajiannya kerana ingin bergiat cergas dalam dakwah dan tabligh, padahal bidang yang mereka pelajari adalah bidang yang sangat penting dan merupakan fardhu kifayah yang mana akan membawa dosa kepada umat Islam jika tiada seorang pun yang menguasai ilmu tersebut. Bukankah pahala ibadah dan jihad itu akan diterima oleh mereka semasa mempelajari ilmu tersebut?
Antara contoh lain yang suka saya sebutkan juga adalah kebanyakan orang Islam lebih mengutamakan sesuatu rukun Islam berbanding rukun yang lain. Mereka lebih mementingkan puasa daripada solat. Bulan Ramadhan hampir tiba, seluruh umat Islam tertunggu-tunggu termasuk yang tidak solat atau yang solat sekali sekala. Jarang jumpa orang yang tidak puasa tetapi sangat ramai yang sangat malas menunaikan solat lima waktu.
Selain itu ada juga yang sangat memberi tumpuan kepada ibadah sunat lebih daripada yang fardhu dan wajib. Bab tasbih, zikir, tahlil dan seumpamanya amat dititik beratkan tapi dalam dalam hal berbakti kepada kedua ibubapa, buat baik kepada jiran tetangga, menjaga silaturrahim, kasih-sayang sesama muslim, memerangi kezaliman, memelihara anak yatim dan banyak lagi perkara wajib yang lain tidak pula dikisahkannya.
Perkara yang penting diutamakan 1
TAZKIRAH BULAN SEPTEMBER 2007
2 Sept. 07/19 Sya’aban 1428
Disediakan oleh:
Aini bt. Ahmad
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti
Untuk Pahang FM
Saudara yang dimuliakan,
Hari ini saya ingin membawa saudara memikirkan satu perkara yang kalau kita jaga betul-betul, akan menguntungkan kita dunia dan akhirat insya Allah. Mula-mula cuba bayangkan kita berada dalam keadaan begini: Jam menunjukkan pukul 3 petang, ada mesyuarat yang perlu kita hadiri, kita belum solat zohor lagi, perut dah berkeroncong belum makan tengahari, tiba-tiba ada panggilan telefon dari sahabat lama kita. Dalam keadaan seperti itu, apakah pilihan yang saudara buat? Tahukah saudara, pilihan kita dalam menentukan apa yang utama sebenarnya adalah sangat penting dalam menjadikan kita orang yang beruntung ataupun tidak.
8. Supaya kamu tidak melampaui batas Dalam menjalankan keadilan;
”Solat berjamaah lebih afdhal dari solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat”
Pada hari ini, jika kita teliti kehidupan seharian kita dan masyarakat kita – tidak kiralah dalam soal kebendaan, kerohanian, pemikiran, sosial, politik dan ekonomi, asas peniaian dalam menentukan keutamaan amatlah mendukacitakan dan kebanyakannya bagaikan tiada panduan untuk menentukan apa yang patut benar-benar diberi keutamaan. Contohnya perkara-perkara yang berkenaan dengan masalah kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam kegiatan belia muda-mudi kita, perhatian dan penumpuan kepada riadah badan lebih diutamakan berbanding riadah akal fikiran – sedangkan akan fikiranlah yang akan menjana pembangunan modal insan yang dicita-citakan.
Dalam perbualan harian, di rumah, di tempat kerja- perbualan tentang orang-orang terkenal dan menjadi pujaan masyarakat bukanlah para ilmuan, cerdik pandai, alim ulama, cendekiawan, budayawan, sasterawan atau ahli fikir, tetapi orang yang menjadi pujaan atau idola mereka adalah para artis, seniman dan bintang-bintang filem dan bola sepak. Kenapa jadi begitu? Kerana itulah yang dihidangkan kepada masyarakat dalam dada-dada akhbar, majalah dan media-media elektronik.
Hanya dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang betul dan matlamat hidup yang betul, panduan yang betul, seseorang itu akan dapat menilai dan menentukan keutamaan dalam hidupnya keluarganya dan masyarakatnya. Seorang surirumah yang silap menentukan keutamaan dalam kerja hariannya akan menghadapi masalah tidak sempat membuat beberapa perkara penting contohnya. Itu baru surirumah, bagaimana pula jika saudara memegang jawatan-jawatan yang memerlukan saudara membuat keputusan yang besar. Yang menentukan peruntukan kewangan umpamanya. Kesilapan menentukan keutamaan akan membawa akibat yang berpanjangan dan kerugian yang bukan sedikit.
Kita akan sambung lagi huraian berkaitan perkara ini pada hari yang sama minggu hadapan.